Tiada Pembalakan Haram Di Kawasan Cadangan Bina Empangan Papar – JPS

KOTA KINABALU, 19 Julai – Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) menafikan tuduhan awam berhubung terdapat aktiviti pembalakan haram dilakukan di Kampung Kaiduan, Papar, berdekatan kawasan cadangan pembinaan empangan Papar.

JPS dalam kenyataan hari ini berkata aduan awam itu adalah tidak berasas dan tidak benar selain bermotif tidak baik serta boleh menjejaskan nama baik kerajaan negeri.

“Tuduhan pembalakan haram di kawasan ini sebenarnya pernah ditimbulkan beberapa kali dan turut ditularkan di media sosial walaupun penjelasan telah diberikan. 

“Pada kali ini, pengadu menimbulkan isu sama dan mengaitkannya dengan kawasan cadangan pembangunan empangan Papar dengan memberi fakta tidak betul,” menurut JPS sebagai mengulas aduan awam berhubung perkara itu yang disiarkan dalam akhbar tempatan pada 13 Julai lepas.

Mengulas lanjut, JPS mengesahkan kayu balak dikaitkan dalam aduan awam itu sebenarnya adalah hasil pembersihan kawasan tanah bermilik atau bergeran yang telah diberi kelulusan permit Borang IIB oleh JPS untuk pengeluaran balak. 

Hasil pemeriksaan JPS juga mendapati tiada pembalakan haram berlaku di kawasan Hutan Simpan Kawang kerana jarak kedudukan tempat kejadian diadukan adalah jauh dari kawasan hutan simpan berkenaan.

“JPS ingin menjelaskan bahawa jabatan ini tidak boleh menghalang pihak individu atau syarikat yang hendak melaksanakan aktiviti pembangunan tanah mereka berstatus tanah bermilik atau bergeran untuk tujuan yang mereka kehendaki.

“JPS hanya mengambil tindakan untuk urusan dan pengawalan pengeluaran kayu yang ditebang dari kawasan tersebut tertakluk pemohon memenuhi syarat dan prosedur ditetapkan jabatan,” menurut kenyataan itu.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *