Projek Memanjangkan Landasan Lapangan Terbang Sandakan Bermula September

SANDAKAN: Kementerian Pengangkutan akan memulakan kerja projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sandakan pada September depan.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pada masa ini projek itu sedang dalam proses pelantikan perunding projek yang sesuai dan dijangkakan akan selesai pada bulan Ogos dan setelah dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

“Kerja bagi projek landasan Lapangan Terbang Sandakan ini akan mengambil masa selama 18 bulan dan dijangka akan siap sepenuhnya pada Mac 2021, sekiranya semua berjalan lancar,” katanya.

Berita baik untuk rakyat di daerah Sandakan itu diumumkan Loke semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, mengenai perkembangan projek pemanjangan landasan berkenaan di Parlimen.

Selepas dilantik sebagai Ahli Parlimen Sandakan, Vivian juga sentiasa mengikuti perkembangan projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sandakan itu dan meminta Loke untuk menyatakan tarikh permulaan serta tarikh dijangka siap bagi projek berkenaan khasnya semasa sesi perbahasan dan pertanyaan lisan di Parlimen.

Dalam pada itu, Loke juga menyatakan, selain memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sandakan dari 2,133 meter kepada 2,500 meter, kementeriannya juga akan mempertingkatkan kemudahan di Lapangan Terbang Sandakan.

“Ini termasuk mempertingkatkan pembinaan Connecting Taxiway baharu, pelebaran kawasan parkir pesawat dan rekonfigurasi, menyediakan Precision Approach Light baharu serta kerja-kerja berkaitan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) juga perlu dilaksanakan memandangkan kawasan berdekatan adalah paya dan sungai yang terdapat di hujung landasan yang akan dibangunkan di mana ia juga merupakan kawasan yang sensitif, selain mengambil kira penjagaan alam sekitarnya.

Utusan Borneo