Christina Lawat Muzium Turki Promosi Pelancongan Sukan Di Sabah

Christina (tengah) menunjukkan jersi yang diterima daripada Umut (dua kanan).

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew buat julung kalinya mengadakan lawatan ke Muzium Besiktas Jimnastik Kulubu (Besiktas Gymnastic Club) di Istanbul dalam usaha mempromosikan Pelancongan Sukan di Sabah.

Muzium yang dikunjungi itu adalah sebuah stadium Vodafone Park dengan kapasiti tempat duduk sebanyak 40,000 kerusi. 

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dibawa melawat muzium berkenaan oleh Ketua Pegawai Pemasaran Umut Kutlu. 

“Sukan antarabangsa mampu menyatukan masyarakat dari seluruh dunia. Saya gembira mendengar khabar Umut Besiktas Jimnastik Club ingin mengambil peluang Tahun Melawat Malaysia 2020 bagi mengukuhkan lagi hubungan dengan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Ditubuhkan pada 1903, kelab itu telah melahirkan pemain bola sepak lagenda Turki yang mewakili negara itu mencapai kejayaan. 

Christina juga menerima idea untuk pertukaran lawatan oleh golongan atlet dan pegawai sukan di antara Turki dan Sabah. 

Dalam pada itu, Umut turut mencadangkan agar satu perlawanan persahabatan bola sepak di antara pemain veteran di Sabah dan Turki. 

Menurutnya, rakyat Turki turut terkejut melihat ramai peminat bola sepak Malaysia di setiap kejohanan sukan itu khususnya Piala Dunia dan Liga Bola Sepak Turki.

Dalam lawatan itu, Christina turut menerima jersi khas kelab itu daripada Umut.