Cari Penagih Tapi Jumpa 5 Senapang

Zaini (dua kiri) menunjukkan senapang angin yang dirampas dalam serbuan di Sri Serbang, Bongawan, Papar, semalam. Gambar Norasikin Daineh

RAHSIA DI BAWAH KATIL

PAPAR: Serbuan pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sebuah rumah di Sri Serbang, Bongawan semalam, membawa kepada penemuan lima senapang angin.

Susulan penemuan itu, polis giat mengesan pemilik rumah berkenaan untuk membantu siasatan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, ketika serbuan pada 10.30 pagi itu, kediaman terbabit yang dipercayai dijadikan ‘port’ penagih dadah didapati terbuka.

“Ketika serbuan dipercayai ada seorang penghuni berkemungkinan penagih dadah, namun sempat melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut dijalankan dan menemui lima laras senapang angin atau bakakuk di bawah katil di dalam bilik tidur. Ia berselerak dan berhabuk.

“Turut ditemui bil elektrik atas nama Ismail Ag Latif dan kita sedang mengesan penama dalam bil itu yang dipercayai pemilik rumah berkenaan untuk siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Zaini berkata, siasatan turut dilakukan sama ada senjata berkenaan disimpan untuk dijual atau digunakan untuk tujuan pemburuan mahupun jenayah lain.

“Mungkin juga untuk tujuan pemburuan kerana rumah berhampiran kawasan hutan. namun siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Terdahulu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyimpan bakakuk kerana senjata larangan di sisi undang-undang dan meminta orang ramai menyerahkannya kepada polis sekiranya mempunyai senapang itu.

Harian Metro