Dewan Rakyat Lulus Tambahan 13 Kerusi DUN Di Sabah

Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah apabila mendapat persetujuan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul tambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah apabila mendapat persetujuan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang.

Usul dikemukakan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat pada pagi Rabu dan kemudian digulung Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pada petang.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan usul berkenaan diluluskan secara berbelah bahagi selepas 158 Ahli Parlimen bersetuju.

“Yang setuju 158 Ahli Parlimen dan yang tidak setuju tidak ada. Tidak kurang daripada setengah (yang setuju), maka usul ini disetujukan,” katanya di dewan rakyat pada Rabu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengesyorkan jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah ditambah sebanyak 13 Bahagian yang menjadikan jumlah keseluruhan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah sebanyak 73 Bahagian.

Tiga belas DUN berkenaan ialah N.02 Bengkoka, N.06 Bandau, N.08 Pintasan, N.13 Pantai Dalit, N.17 Darau, N.24 Tanjung Keramat, N.27 Limbahau, N.44 Tulid, N.47 Telupid, N.51 Sungai Manila, N.58 Lamag, N.61 Segama, dan N.70 Kukusan.

Pertambahan Bahagian Pilihan Raya Negeri itu akan dapat meningkatkan tahap perkhidmatan wakil rakyat kepada penduduk tempatan di Sabah, khususnya penduduk yang berada di dalam kawasan Bahagian Pilihan Raya Negeri tersebut.

Pada masa sama, ia akan lebih memudahkan wakil rakyat serta penduduk untuk berinteraksi bagi membincangkan hal-hal berkaitan dengan kebajikan penduduk serta merancakkan lagi pembangunan di kawasan Bahagian Pilihan Raya Negeri.

Pada 9 Ogos 2016, DUN Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah untuk meminda Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada 73, berbanding 60 ketika ini.

Laporan SPR itu sudah diserahkan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Februari 2017, namun ia tidak diusul untuk pembentangan pada persidangan Parlimen ke-13 yang lalu.

Awani