Dua bot nelayan dan tiga kru bot yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah ditahan dalam Operasi Bersepadu Inter Agensi, di perairan Carrington Reef, Pulau Banggi, di sini pada Sabtu.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi yang dijalankan bersama Jabatan Perikanan Kudat itu mendapati dua bot nelayan berkenaan beroperasi tanpa lesen yang sah.
Dengan itu, kedua-dua bot ditahan dibawah Seksyen 474(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1960.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiga kru bot daripada bot berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.
Mereka yang ditahan dan barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM6,300 akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Kudat serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Kudat untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Mohamad Pajeri berkata, PPM dan Jabatan Perikanan turut menjalankan pemeriksaan terhadap ikan-ikan yang dijual di Pasar Ikan Kudat serta di jeti pendaratan ikan sekitar Kudat hingga Pitas.
“Tumpuan operasi adalah untuk mengesan ikan yang diperoleh melalui aktiviti pengeboman ikan.
“Namun, hasil pemeriksaan di darat dan di kapal nelayan sepanjang perairan Kudat hingga Timur Pulau Banggi tidak mengesan kegiatan bom ikan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu akan terus dijalankan dari masa ke semasa