Tukang Masak Edar Dadah Dicekup Di Kampung Air

Zaini (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang disimpan dalam bungkusan produk kopi segera pracampur 3 dalam 1. FOTO Edmund Samunting

PADAH EDAR DADAH

KOTA KINABALU: Tukan masak ditahan bersama pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM42,500 di tepi jalan kawasan Kampung Air, Kota Kinabalu Jumaat lalu.

Lelaki berusia 24 tahun dari Sarawak itu, ditahan 12 tengah malam dipercayai cuba mengedar dadah di kawasan berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, sebelum ditahan, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan dengan memegang satu plastik hitam besar.

Katanya, sebaik diperiksa, bungkusan yang dibawa suspek berisi puluhan bungkusan produk kopi segera pracampur 3 dalam 1 dan pelbagai label bungkusan minuman segera lain.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui serbuk dadah berbahaya 1,746 gram bersama dadah jenis ketamin 103.4 gram.

“Selain itu, polis turut menemui 300 pil berbentuk Beruang dan Obor-Obor 97 gram dipercayai dadah jenis ekstasi daripada suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Zaini berkata, suspek mengaku memperoleh bekalan dadah itu daripada lelaki tempatan di Miri sebelum membawa masuk melalui perkhidmatan udara.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Zaini memberitahu hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek positif methamphetamine, amphetamine, ketamin dan benzo.

Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan termasuk mengesan pembekal kepada semua dadah berkenaan.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *