Harga Tiket Masuk Muzium Perlu Dikaji Semula – Mohamaddin

Datuk Mohamaddin Ketapi

KOTA KINABALU, 15 Julai – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata harga tiket masuk muzium di negara ini perlu dikaji semula susulan harganya yang masih rendah berbanding negara luar.

Beliau berkata jika dibandingkan dengan muzium di negara luar, bayaran masuk ke muzium di negara ini terlalu rendah iaitu sekitar RM5 berbanding bayaran masuk sehingga 15 dolar (lebih RM50 ke RM60) di negara luar.

“Oleh itu saya berasakan bayaran masuk perlu dinaikkan sedikit contohnya RM10 dan anggap saja ia sebagai sumbangan untuk memajukan lagi muzium di negara ini pada masa hadapan,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat kebangsaan kali ke-23 di Kompleks Muzium Sabah, di sini hari ini.

Mengenai sambutan berkenaan, Mohamaddin berkata ia merupakan wadah bagi meneruskan kerjasama antara muzium-muzium dalam usaha menyebarkan ilmu pengetahuan mengenai khazanah budaya negara.

“Sambutan ini juga merupakan satu pengiktirafan ke atas peranan muzium dalam pembentukan masyarakat dan negara, selain memperkukuhkan jaringan kerjasama dalam kalangan warga muzium di seluruh Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Mohamaddin berkata pencapaian dan usaha institusi permuziuman pada era digital kini perlu dipertingkatkan bagi mengubah persepsi masyarakat kepada warisan dan budaya.

Katanya muzium perlu menjadi hab kebudayaan yang mampu mengadunkan warisan dan teknologi melalui mekanisme tertentu yang padu dalam memartabat dan melestarikan budaya dan warisan negara bagi kelangsungan tradisi.

“Sebagai hab kebudayaan, aktiviti permuziuman tidak boleh hanya bergantung pada koleksi, sebaliknya masyarakat perlu dijadikan intipati ke arah keunggulan institusi permuziuman. Muzium perlu secara kreatif menghubungjalinkan idea bersama dengan masyarakat dalam merangka program mengikut cita rasa semasa.

“Muzium juga harus bijak mengetengahkan isu-isu semasa melalui penganjuran pelbagai program bukan sahaja dalam bentuk pameran, tetapi juga sesi dialog, forum dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata muzium bukan sahaja berperanan sebagai institusi yang memelihara khazanah warisan dalam bentuk paparan artifak dan pendokumentasian, tetapi ia juga diperluaskan peranannya sebagai satu ejen yang mampu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang betapa pentingnya muzium sebagai hab dalam memahami budaya dan tradisi sesebuah masyarakat.

– BERNAMA