Sabah Benam Kelantan Di Likas

Pemain Sabah bergambar sambil menjulang Piala Liga Perdana selepas menamatkan perlawanan bersama Kelantan di Stadium Likas. – Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Sabah terus membuktikan betapa mereka layak bergelar juara Liga Perdana, musim ini, apabila meneruskan memontum kemenangan dengan mengatasi Kelantan 1-0 di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan dilihat sedikit sukar menguasai bola berikutan keadaan padang licin akibat hujan lebat di sepanjang permainan berlangsung.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama pemain Sabah bersorak kegembiraan meraikan kejayaan mereka pada Majlis Penyampaian Piala Liga Malaysia di Stadium Likas malam tadi. – Foto BERNAMA

Kelantan lebih dulu memiliki peluang pada minit ke-7 menerusi penyerang import, Li’mam Seydi, namun cubaan yang berjaya melepasi penjaga gol tuan rumah, Rozaimie Rohim, berjaya dihalang Maffry Balang sebelum bola sempat bergolek masuk ke gawang.

Dua minit kemudian, Alto melakukan rembatan kencang menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti namun terus menuju ke dakapan penjaga gol Kelantan, Mohammad Fikri Che Soh.

Pada minit ke-19, penyerang import skuad Tambadau, Aguinaldo Mendes Veiga melakukan larian pantas melepasi dua pertahanan lawan tetapi cubaannya selepas itu berjaya diselamatkan Fikri.

Pemain Sabah meraikan kejayaan mereka dengan mengangkat Piala Liga Perdana Malaysia pada Majlis Penyampaian Piala Liga Malaysia di Stadium Likas malam tadi. – Foto BERNAMA

Satu lagi peluang Sabah untuk menghasilkan gol ialah pada minit ke-36 apabila bola hantaran lintang Alto Linus terus menuju ke pintu gol dan hampir mengelirukan Fikri namun dia sempat menepisnya keluar.

Bermula babak kedua, skuad Tambadau menggandakan usaha mereka mencari gol dan berjaya mendapatkan sepakan penalti pada minit ke-55 selepas Rodoljub Paunovic dikasari Mohd Farisham Ismail di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, sepakan Paunovic selepas itu berjaya ditepis keluar oleh Fikri seterusnya memberikan sepakan sudut kepada Sabah.

Sepakan sudut yang diambil Ahmet Atayev itu kemudian menceriakan lebih 10,000 penyokong apabila bola gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol dan terus masuk ke dalam gawang bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan cuba mencari gol penyamaan dan hampir memperolehinya pada minit ke-61 namun dua cubaan berturut-turut mereka diselamatkan Rozaimie serta terkena palang.

Skuad The Red Warrior juga memiliki peluang terbaik pada minit ke-87 menerusi Nik Akif Syahiran yang hanya berdepan Rozaimi tetapi penjaga gol Sabah itu lebih cemerlang menyelamatkan keadaan dan kedudukan 1-0 itu kemudian tamat sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *