TAWAU, 13 Julai – Sabah mencatatkan 2,707 kes demam denggi melibatkan 13 kematian sejak awal tahun sehingga 6 Julai lepas, kata Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Christina Rundi.
Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat perlu bersama-sama meningkatkan tahap kebersihan persekitaran termasuk tempat tinggal bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes kerana semburan kabus bukan penyelesaikan kepada masalah denggi.
“Misalnya, Tawau merekodkan kes demam denggi kedua tertinggi sehingga 6 Julai ini dengan lima kematian,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Sabah di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong.
Sementara itu, Jaujan berkata tanggapan masyarakat bahawa kes denggi itu adalah masalah Jabatan Kesihatan atau Pihak Berkuasa Tempatan perlu dikikis.
“Kita perlu bersatu memainkan peranan aktif dalam usaha mencegah denggi, sekurang-kurangnya luang masa 10 minit seminggu untuk periksa dan hapus tempat pembiakan nyamuk,” katanya.
BERNAMA