PGA Rampas 7,680 Bungkus Rokok Seludup Pelbagai Jenama Di Kalabakan

Rokok yang dirampas kemudian dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut. – Gambar Ihsan PGA Tawau

TAWAU, 11 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 di sini merampas 7,680 bungkus rokok seludup pelbagai jenama dan sebuah kereta di tepi jalan Batu 2 Kampung Murut, Kalabakan, dekat sini awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 14, Supt Mustapha Osman berkata bagaimanapun tiada tangkapan suspek selepas pemandu kereta jenis Perdana V6 melarikan diri selepas diekori anggota bertugas di Road Check Point (RCP) Kalabakan pada 4.30 pagi.

Rokok yang dirampas kemudian dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut. – Gambar Ihsan PGA Tawau

“Ketika sepasukan anggota polis dari Kompeni ‘B’ Batalion 14 PGA Tawau menjalankan tugas Strike Force RCP di Kalabakan, sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan memecut laju.

“Pasukan bertugas mengejar kenderaan itu yang kemudian ditemui diparkir di tepi jalan Batu 2 Kampung Murut, dan didapati pemandu kenderaan melarikan diri, pemeriksaan lanjut ke dalam kereta menemukan 27 bungkusan plastik hitam mengandungi 7,680 bungkus rokok seludup pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Antara rokok yang dirampas adalah rokok Astro (1,740 bungkus), Menara Dunia (1,200 bungkus), Premiro (980 bungkus), Fit MILD Menthol (790 bungkus), Surya Menthol Slim (1,570 bungkus), Djarum Black (1,560 bungkus) dan bungkusan tembakau salak.

Mustapha berkata kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM50,501.20 itu dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.

BERNAMA