5,000 Penduduk Tiga Kampung Parlimen Libaran Nikmati Bekalan Air Bersih

Zakaria (tengah) bersama AJK Srikandi Bahagian Libaran memotong kek pada majlis itu.

Lebih 5,000 penduduk dari tiga perkampungan dalam Parlimen Libaran telah menikmati bekalan air bersih selepas loji baharu di Beluran beroperasi sepenuhnya pada Disember lepas.

Ahli Parlimen Libaran Datuk Zakaria Haji Mohd Edris berkata tiga kampung berkenaan iaitu Jaya Bakti, Memanjang dan Satura serta kawasan berhampiran yang terletak dalam laluan utama ke daerah Beluran.

“Bekalan air berkenaan yang diperolehi dari Beluran bukan sahaja telah memberi keselesaan kepada penduduk setempat, malah menyelesaikan masalah bekalan air dihadapi penduduk sejak sekian lama,” katanya.

Beliau yang juga ketua penaja pimpinan Bersatu Bahagian Libaran berkata demikian semasa menghadiri Majlis Tautan Kasih Raya Srikandi DUN Sungai Sibuga, Parlimen Libaran.

Terdahulu, Zakaria dalam ucapannya pada majlis berkenaan mengingatkan setiap ahli Srikandi Libaran agar sentiasa menyokong setiap pelaksanaan usaha pembangunan dilaksanakan kerajaan.

Pada masa sama, beliau juga mahu ahli Srikandi Libaran menerapkan elemen kesatuan dalam parti bagi memastikan penglibatan ahli dapat mewujudkan kestabilan politik negara.

“Sokongan dan elemen kesatuan itu penting agar setiap dasar kerajaan negeri dan pelaksanaan perancangan pembangunan di setiap kawasan dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Utusan Borneo