Penduduk Terkejut Tindakan Lelaki Bakar Motosikal Sendiri

Motosikal jenis Yamaha 125 milik lelaki itu dibakar pada jarak kira-kira 10 kaki dari rumahnya, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada orang kampung. Gambar kecil ialah Muhammad Mai pengerusi MPKK.

Tindakan seorang lelaki membakar motosikalnya sendiri membuatkan penduduk kampung gempar dan bertempiaran lari kerana menyangkakan ada kes kebakaran rumah.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi Rabu itu berlaku ketika penduduk kampung menguruskan majlis pengebumian jenazah yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Insiden itu melibatkan seorang lelaki, 31, yang disyaki kurang siuman dan membakar keretanya ketika bapanya keluar bekerja dan ibunya pula berada di majlis pengebumian.

Bapa lelaki terbabit, 61, seorang pekerja kilang, berkata tindakan anaknya itu hanya diketahuinya semasa berada di tempat kerja sebelum bergegas pulang ke rumah.

“Ketika sampai di rumah, saya lihat orang ramai, polis dan bomba sudah berada di halaman rumah,” katanya yang mengakui terkejut dengan tindakan anak lelakinya.

Menurutnya, anak lelakinya itu menganggur dan baru sahaja membeli minyak untuk motosikal anaknya sehari sebelum kejadian, kerana sudah dua bulan motosikal itu rosak.

Beliau berkata anaknya juga memintanya membaiki motosikal itu pada Ahad lepas namun disebabkan komitmen kerja, bapa lelaki terbabit tidak dapat menghantarnya ke bengkel.

Ibu lelaki itu pula, 55, berkata anaknya sempat menghadiri majlis pengebumian jenazah seorang penduduk kampung sebelum balik ke rumah untuk mengambil motosikal.

“Saya juga berada di majlis yang sama sebelum kejadian itu dan terkejut selepas diberitahu orang kampung bahawa rumah kami terbakar sebelum terus berlari balik.

“Saya tidak tahu punca anak lelaki saya membakar motosikalnya sendiri,” katanya sambil menyifatkan anaknya berkelakuan normal sepanjang pagi itu sehingga kejadian berlaku.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Muhammad Mai berkata mereka berkejar ke lokasi kejadian kerana menyangkakan ada rumah yang terbakar.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, kami melihat ada motosikal terbakar dan seorang lelaki duduk di kolong sambil menghisap rokok,” katanya kepada Utusan Borneo.

Katanya keadaan menjadi kelam-kabut apabila ada orang kampung yang bertindak membelasah lelaki terbabit kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya.

Beliau berkata mujur keadaan kembali reda sebelum pasukan bomba dan penyelamat serta polis tiba di lokasi kejadian dan membawa lelaki itu ke IPD Tawau.

“Kawannya ada cakap dia mahu ikut hantar jenazah ke tanah perkuburan sebab itu dia balik untuk mengambil motosikalnya tetapi tidak sangka begini kejadiannya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas mengesahkan lelaki itu ditangkap mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, dan dipercayai mengalami masalah psikologi.

Utusan Borneo