Juara Liga Perdana 2019, Sabah Tamatkan Kemarau 23 Tahun

Pemain Tambadau Sabah meraikan kejayaan menjadi juara Liga Premier 2019. Foto Ihsan SAFA

SHAH ALAM: Sabah dinobatkan juara Liga Premier Malaysia 2019 selepas menewaskan UiTM FC 2-1 untuk memungut tiga mata berharga di Stadium UiTM Shah Alam malam tadi.

Bangkit dari belakang setelah ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, Tambadau Sabah menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua melalui pemain import Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes.

Paunovic (tengah) dan rakan sepasukan meraikan gol pertama Sabah. Gambar SNT/Ihsan Safa

Stadium UiTM Shah Alam bergema dengan sorakan gembira lebih 2,000 penyokong Sabah sebaik wisel penamat dibunyikan oleh pengadil Mohd Fairuzi Mat Desa.

Tambadau memulakan perlawanan hanya memerlukan tiga mata sahaja bagi mencapai 40 mata untuk meninggalkan pencabar terdekat JDT II.

JDT II yang perlu menang dua perlawanan terakhirnya untuk mendapat sebarang peluang mencabar Sabah pula tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan di Paroi.

Ketua Jurulatih Sabah Jelius Ating dijulang anak buahnya. Gambar Ihsan SAFA

Perlawanan tadi menyaksikan Tambadau menguasai permainan babak pertama dan hampir mendapat gol pertama melalui Paunovic pada minit ke-19.

Paunovic yang dikasari betul-betul di atas kotak penalti bingkas mengambil tendangan percuma yang menewaskan penjaga gol UiTM FC Muhamad Nor Haziq tapi terkena palang gol dan melantun keluar.

Datuk Peter Anthony dijulang para pemain dan pasukan kejurulatihan Sabah. Foto Ihsan SAFA

Pada minit ke-29, UiTM mendapat tendangan percuma di posisi serupa dan diambil oleh penjaring gol terbanyak Liga Perdana, Zarko Korak.

Tendangan ketua pasukan UiTM itu melencong dan menjunam ke penjuru sebelah kiri gol Sabah menewaskan penjaga gawang Rozaimie Rohim.

Babak kedua bermula seimbang namun Tambadau berjaya mendapat semangat baharu dengan jaringan gol penyamaan melalui tendangan penalti yang disempurnakan oleh Paunovic pada minit ke-57.

Pengadil memberi penalti apabila tendangan Alto Linus terkena tangan pemain UiTM Mohamad Shafiq Al-Hafiz dalam kotak penalti.

Pada minit ke-66, penyokong Tambadau dihadiahkan gol kemenangan melalui Aguinaldo yang berjaya menanduk masuk hantaran tendangan sudut Nigel Ricco Milus.

Zarko menunjukkan kenapa dia adalah penjaring  terbanyak liga perdana apabila tendangan percumanya hampir masuk namun ketangkasan Rozaimie menepis bola keluar menyelamatkan keadaan.

Zarko sekali lagi mendapat peluang pada minit ke-74 tetapi Rozaimie sekali lagi bertindak cemerlang untuk menampan bola keluar.

Percubaan itu merupakan yang terakhir bagi UiTM dengan benteng pertahanan Sabah diketuai pemain terbaik bulan Mei Rawilson Batuil mengekang serangan UiTM FC.

Selepas permainan tamat para pemain Tambadau merai kejayaan menamatkan kemarau trofi selama 23 tahun sambil memberi penghormatan kepada para penyokong.

Pemangku Presiden Safa Datuk Peter Anthony turut dijulang oleh pemain selepas menjulang Ketua Jurulatih Jelius Ating.

Menurut Peter, Sabah akan menerima piala Juara Liga Premier semasa perlawanan menentang Kelantan di Stadium Likas Sabtu ini nanti.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *