Habuan Rahsia Menanti Pemain Sabah Selepas Menjuarai Liga Perdana 2019

KOTA KINABALU, 10 Julai – Habuan ‘rahsia’ bakal menanti pemain Sabah setelah berjaya menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi selepas mengesahkan kejuaraan Liga Premier musim ini apabila menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam, semalam.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony berkata, berita gembira itu bakal diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, semasa penyerahan trofi Liga Premier 2019 di Stadium Likas, Sabtu ini.

“Perkara ini (pemberian ganjaran kepada pemain) telah kami bincangkan dalam mesyuarat kabinet nnegeri hari ini. Namun kita serahkan kepada Ketua Menteri untuk mengumumkan ganjaran itu…saya percaya ada kejutan untuk semua pemain dan pihak pengurusan pasukan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pemain Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini  hari ini.

Pemain dan pegawai Sabah bersorak kegembiraan mengungguli Liga Perdana 2019 selepas menewaskan UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, semalam.

Semalam, Sabah mengesahkan kejuaraan Liga Premier musim ini selepas menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam dan kemenangan itu menyaksikan Sabah mengumpul 40 mata selepas 18 perlawanan, tujuh mata mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di kedudukan kedua.

Skuad kendalian Jelius Ating yang sudah mengesahkan tempat ke Liga Super pada Jumaat lalu itu dinobatkan juara susulan JDT II yang berbaki satu perlawanan lagi sudah tidak mampu untuk mengejar kelebihan perbezaan tujuh mata yang dimiliki Sabah.

Sementara itu, Peter meminta semua penyokong Sabah datang untuk menonton perlawanan Sabah menentang Kelantan Sabtu ini, sekali gus melihat penyerahan trofi Liga Premier 2019 kepada pasukan Sabah.

“Saya harap ramai orang akan hadir pada Sabtu ini kerana kejuaraan Sabah pada tahun ini sudah lama dinantikan kerana kali terakhir Sabah mengangkat trofi berkenaan pada 23 tahun lepas,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *