Transgender Dilantik AJK Di Bawah Kementerian Kesihatan

Rania Zara Medina dilantik sebagai AJK di dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan. – Ihsan FB Rania Zara Medina

KUALA LUMPUR: Perlantikan Ratu Trans Women 2017, Rania Zara Medina, sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) di dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan adalah sah mengikut prosedur sedia ada.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata perlantikan itu berdasarkan wakil masyarakat penduduk sasar dipilih dalam kalangan penduduk berkenaan dan disahkan melalui surat lantikan oleh beliau sendiri.

Katanya penduduk sasar ini termasuk mereka yang tergolong dalam kategori transgender, hubungan seks lelaki bersama lelaki (men-sex-with-men), pekerja seks wanita, penagih dadah dan orang yang hidup dengan HIV/AIDS (PLHIV).

“Pelantikan Rania Zara sebagai CCM Malaysia untuk penggal 2019-2021 adalah mengikut prosedur yang sedia ada.

“CCM Malaysia ditubuhkan atas keputusan Kabinet pada 2009 untuk menangani penyakit HIV/AIDS melalui sumbangan daripada Global Fund.

“Fungsi CCM bagi mengawal HIV/AIDS adalah sejajar dengan Pelan Strategik Nasional untuk menangani wabak HIV/AIDS di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, kata Dr Boon Chye, antara fungsi utama CCM Malaysia turut merangkumi permohonan peruntukan di bawah Global Fund, pemantauan serta memberi sokongan teknikal bagi pelaksanaan projek berkaitan.

Katanya, Kementerian Kesihatan pula bertindak sebagai penyelaras dan dipengerusikan oleh beliau sendiri selaku Timbalan Menteri Kesihatan.

Sebagai keperluan Global Fund, anggota CCM terdiri daripada 25 ahli yang mewakili pemegang taruh seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan wakil masyarakat daripada penduduk sasar.

Sebelum ini, surat daripada pejabat Dr Boon Chye berhubung pelantikan Rania Zara itu menjadi viral di media sosial.

Surat bertarikh 25 Jun itu turut dikongsi di laman sosial Facebook Rania dan menerusi surat itu beliau difahamkan memulakan tugas berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Berita Harian