Perkahwinan Bawah Umur 18 Tahun Masih Berlaku Di Sabah

Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Norazlinah Arif

RANAU, 9 Julai – Masih terdapat segelintir masyarakat di negeri ini yang mengahwinkan anak mereka yang masih di bawah umur 18 tahun, kata Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Norazlinah Arif.

Beliau berkata meskipun undang-undang memberikan peruntukan perkahwinan, namun terdapat sesetengah masyarakat melaksanakan perkahwinan tanpa melihat batasan had umur seseorang kanak-kanak.

Gambar Hiasan

Katanya perkahwinan antara lelaki dan perempuan di bawah 18 tahun, memberi cabaran serta tekanan psikologi dan fizikal yang merangkumi pendidikan, kesihatan, ekonomi, pembuat keputusan dan jenayah terhadap kanak-kanak.

“Keadaan seperti ini boleh menjadi pencetus kepada masalah sosial dan moral kanak-kanak. Contohnya, kanak-kanak tersebut tidak dapat meneruskan pendidikan. Tidak mempunyai sumber kewangan, memikul beban kehidupan berkeluarga seawal usia di bawah umur.

“Selain kesan kepada bayi yang dilahirkan dari segi penjagaan, kebajikan dan lain-lain,” katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Isu Perkahwinan Kanak-Kanak di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut di sini, hari ini.

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) dan turut hadir Pengarah JHEWA, Puan Masturah Haji Jamrah. 

Norazlinah berkata adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk memikirkan masa depan kanak-kanak,  kerana mereka adalah tunjang harapan negara.

Justeru, katanya, ibu bapa dan juga masyarakat perlu memainkan peranan penting dengan memberikan pendidikan awal yang secukupnya bagi mengelakkan kes perkahwinan kanak-kanak di bawah umur berlaku di negara ini khususnya di Sabah.

Menurutnya pihak guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) juga perlu memainkan peranan mereka dengan memberikan laporan kepada pihak yang berkaitan, sekiranya terdapat pelajar berhenti sekolah awal kerana berkahwin.

“Semua lapisan masyarakat, termasuk badan kerajaan, badan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat dan rakyat secara amnya juga perlu bersama-sama memainkan peranan, mengamalkan sikap prihatin dan ambil tahu agar masalah akibat daripada perkahwinan kanak-kanak tidak berlaku,” katanya.

Norazlinah berkata, masyarakat sendiri perlu mengetahui dan memahami isu serta cabaran perkahwinan kanak-kanak.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *