
GENG SIROK – KUMPULAN JENAYAH SAMUN RUMAH URUT DAN BAJET HOTEL TUMPAS
KOTA KINABALU: Satu kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Sirok yang aktif melakukan kegiatan samun di beberapa rumah urut dan hotel bajet sekitar bandaraya tumpas dengan tertangkapnya tujuh daripada sembilan ahlinya.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah antara suspek yang ditangkap ialah empat orang wanita.

Menurut beliau, hasil risikan dan siasatan polis membuat satu serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Sri Gading dan berjaya menangkap tujuh suspek terbabit berusia 17 hingga 31 tahun.
“Pelbagai barangan yang dipercayai hasil samun seperti komputer riba, telefon bimbit, jam tangan, pelbagai matawang asing, termasuk beberapa senjata tajam turut dirampas dalam serbuan,” katanya.

Jelas Omar, hasil daripada kegiatan jenayah yang dilakukan kumpulan ini dalam tempoh sebulan dianggarkan berjumlah RM80,000.
Tambah beliau lagi, siasatan lanjut turut menunjukkan bahawa terdapat dua lagi suspek yang masih bebas.
Lima daripada suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau manakala empat positif dadah selepas ujian air kencing.
Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, di sini, hari ini kali terakhir kumpulan itu melakukan jenayah samun ialah pada 29 Jun lalu di sebuah hotel bajet di Bandaran Berjaya di sini.

“Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, tiga ahli kumpulan terbabit memasuki premis hotel dan berpura-pura bertanya sekiranya ada bilik kosong untuk disewa.
“Tidak lama selepas itu, salah seorang suspek bertindak menerjah masuk ke kaunter di lobi hotel dan bergelut dengan seorang pekerja wanita ketika itu berseorangan sebelum melarikan diri bersama dompet dan sebuah telefon milik mangsa,” katanya.
Rakaman CCTV kejadian jenayah samun itu juga tular di media sosial.
Omar berkata polis kini giat memburu dua lagi ahli kumpulan yang masih bebas iaitu Mohd Shaab Schwardy Mohd Ibrahim, 26, dan Mohd Nazrah Khan Mohammad Yusof Khan, 31.

“Kesemua suspek kini masih ditahan reman untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.