‘Saya Sangka Dapat Ikan Besar’ – Lelaki Terkejut Menemui Mayat Bersama Motosikal Ketika Memukat Di Kolombong

Pukat ikan dapat mayat

KOTA KINABALU: Pemuda berusia 30-an menyangka pukatnya berat kerana berisi ikan besar, namun sebaliknya berlaku apabila dia menemui mayat bersama sebuah motosikal.

Kejadian berlaku 1.30 petang semalam di parit dekat Kolombong, Kota Kinabalu ketika dia memukat sendirian di kawasan itu.

Terkejut dengan penemuan itu, lelaki berkenaan memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepasukan anggota ke lokasi sejurus dimaklumkan dan siasatan awal mendapati mangsa adalah lelaki dikenali Salman Junnes berusia 20 tahun.

“Mangsa berasal dari Kampung Mompilis, Kudat dipercayai menunggang motosikal Honda EX5 sebelum terbabas dan terhumban ke dalam parit itu.

“Bagaimanapun, siasatan di lokasi tidak menemui sebarang kesan brek mahupun geseran di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat.

Katanya, sampel darahnya turut diambil untuk ujian toksikologi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *