Bawa Masuk Syabu 5.3KG Melalui Lapangan Terbang Tawau, Lelaki Berdepan Hukuman Mati

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini .

LELAKI BERDEPAN HUKUMAN MATI, EDAR DADAH

TAWAU: 8 JULAI 2019 – Seorang lelaki berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methapethamine atau syabu seberat 5 kilo 325.80 gram, di Lapangan Terbang Tawau, 24 Jun lepas.

Iun Chun Peng, 32 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Lapangan Terbang Tawau pada jam 3.45 petang, hari berkenaan.

Dadah yang dirampas semasa serbuan yang dilakukan pihak berkuasa pada 24 Jun lepas di Lapangan Terbang Tawau

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, Dan jika tidak dihukum mati dikenakan sebatan tidak kurang dari 15 sebatan.

Tertuduh mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Dg. Nur Azarinawaty Ag. Kachee.

27 Jun lalu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass dalam sidang medianya di Kota Kinabalu, dilaporkan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengagalkan cubaan seorang lelaki menyeludup masuk syabu bernilai 266-ribu 250-ringgit dari Kuala Lumpur sebaik tiba di Lapangan Terbang Tawau.

Pemeriksaan terhadap bagasi yang dibawa tertuduh mendapati terdapat lima bungkusan plastik mengandungi paket lutsinar berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.3 kilogram.

Sumber : BESTAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *