Salah Faham Saja Bah..

Pengiring pasukan SMK Tun Fuad Stephens Kiulu menjelaskan isu berhubung bendera Sabah yang dikibarkan di Dance World Cup Finals 2019. FOTO Facebook Recqueal Raimi

Hanya Salah Faham

Pengiring pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu, Tuaran, tampil menjelaskan isu berhubung bendera Sabah yang dikibarkan ketika pengumuman pemenang Dance World Cup Finals 2019 di Braga, Portugal, baru-baru ini.

Rakaman video detik kemenangan yang dicapai tiga pelajar sekolah berkenaan memaparkan hanya mengibarkan bendera Sabah menimbulkan persoalan daripada netizen kerana tidak mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang mereka mewakili Malaysia.

Ia susulan, seorang individu Facebook memuat naik status menyifatkan pihak pengiring peserta seharusnya tidak bersifat ‘kenegerian’ apabila peserta dilihat hanya mengibarkan bendera negeri Sabah apabila berada di luar negara.

Bagaimanapun, guru pengiring, Liza Joseph ketika dihubungi menjelaskan perkara sebenar sebaik isu itu tular di Facebook dan WhatsApp.

“Pertama sekali, saya meminta maaf selaku guru pengiring dan mengakui ia disebabkan kesilapan saya sendiri sehingga mengundang salah faham dalam kalangan masyarakat namun ia bukan bermakna kami bersifat demikian.

“Bendera negeri ketika itu dibawa tiga peserta terbabit manakala bendera negara ada pada saya sendiri namun disebabkan saya berada di kedudukan belakang penonton, saya tidak sempat menyerahkan bendera negara kepada peserta sebaik keputusan diumumkan,” katanya.

Menurut Liza lagi, peserta itu mengambil masa lapan bulan untuk berlatih sebelum pertandingan dan semangat patriotisme yang membantu peserta berusaha bersungguh-sungguh untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.

“Hanya ketika rakaman video tertumpu pada penyampaian pingat sahaja menunjukkan peserta mengibarkan bendera negeri. Tetapi secara keseluruhannya, kami bersama-sama mengibarkan bendera negara dan bendera negeri sebaik diumumkan juara kategori,” jelasnya.

Sejak semalam, guru pengiring itu memohon maaf dan menjelaskan keadaan situasi sebenar melalui Facebook dan rata-rata pengguna laman sosial menganggap ia perkara yang tidak perlu diperbesarkan dan rakyat berbangga pencapaian rombongan itu yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, tiga peserta masing-masing berusia 15 tahun iaitu Phoebe Faith Munsin dan Dave WacklJolly berasal Kampung Kionsom Lama, Tamparuli serta seorang lagi, Carrie Ann Jolison berasal Kampung Malangang Baru, Kiulu, berjaya merangkul pingat emas bagi kategori Junior Duet (bawah 25 tahun) iaitu Trio National and Folklore dalam pertandingan itu.

Pertandingan itu berlangsung 28 Jun hingga 5 Julai lalu dan rombongan itu dijangka tiba di Kota Kinabalu pada Selasa ini.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *