Pembinaan Empangan Papar Langkah Jangka Panjang Atasi Kekurangan Air Di Kota Kinabalu Dan Penampang

Datuk Peter Anthony

PAPAR, 8 Julai – Kerajaan negeri memutuskan pembinaan Empangan Papar sebagai langkah jangka panjang mengatasi kekurangan bekalan air menjelang 2024 di daerah ini, Kota Kinabalu dan Penampang.

Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri Datuk Peter Anthony berkata kapasiti bekalan air ketika ini semakin memerlukan untuk jangka masa sehingga 2060.

“Kami jangka menerusi perincian yang kami buat, kedudukan bekalan air akan berkurang mulai 2024.

“Tiada kaedah lain yang kami nampak lebih baik dalam menyelesaikan masalah ini, dengan membina empangan Papar yang dahulunya dikenali sebagai empangan Kaiduan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air Kogopon di sini, hari ini.

Menurutnya kerajaan negeri akan membina dengan kadar segera empangan itu dengan lokasi tapak sudah dikenali pasti dan reka bentuk empangan yang akan dibina sudah disiapkan.

Peter berkata satu pasukan khas akan diwujudkan yang bertanggungjawab terhadap pembinaan empangan Papar ini termasuk berkaitan bayaran pampasan kepada penduduk kampung terlibat.

Beliau berkata kebajikan penduduk kampung yang kawasan mereka terlibat dalam pembinaan empangan ini, akan diberi keutamaan khususnya di kawasan hilir sungai.

“Di tapak utama empangan itu dibina tiada diduduki penduduk kampung dan di kawasan hillir sungai Papar, penduduk kampung yang terlibat akan diberi penempatan baharu atau dipindahkan ke tanah lain di kawasan itu,” katanya.

Peter berkata sebelum kerajaan negeri membuat keputusan membina empangan Papar, beberapa kaedah lain juga diambil kira termasuk kaedah menggunakan air masin sebagai sumber bekalan air menerusi pemprosesan seperti yang digunakan di Singapura.

“Kaedah itu membabitkan kos yang mahal sedangkan kita ada kaedah murah menerusi pembinaan empangan yang juga boleh digunakan untuk menjana elektrik,” katanya. 

Mengenai bantahan pembinaan empangan Papar daripada aktivitis dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Peter berkata ia terpulang kepada mereka dan kerajaan bersikap terbuka.

“Kami (kerajaan negeri) ada pendirian yang diputuskan untuk kepentingan dan tidak merugikan rakyat. Suatu yang  baik untuk rakyat bukan untuk Ketua Menteri, Menteri (Pembangunan Infrastruktur) dan Pengarah (Jabatan Bekalan Air),” kata Peter.

– BERNAMA