Lapangan Terbang Daxing Berbentuk Tapak Sulaiman

Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing di Beijing berbentuk tapak sulaiman akan dibuka pada 1 Oktober ini. FOTO Agensi Agensi

Lapangan terbang termoden China, Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing di Beijing bernilai berbilion ringgit berbentuk tapak sulaiman akan dibuka sempena ulang tahun ke-70 kerajaan komunis pada 1 Oktober ini.

Kerja-kerja pembinaan lapangan terbang itu secara rasminya siap mengikut jadual pada 20 Jun lalu dan hari ulang tahun penubuhan Republik Rakyat China oleh Mao Zedong pada 1 Oktober 1949 dipilih sebagai tarikh majlis pembukaannya.

Majlis pembukaan itu akan dihadiri Presiden Xi Jinping bersama perarakan tentera di tengah Beijing.

Terletak 46 kilometer di selatan Dataran Tiananmen, lapangan terbang baru dengan empat landasan utama itu akan mencapai operasi penuh pada 2025, mampu mengendalikan 72 juta penumpang setahun.

Menjelang 2040, lapangan terbang berkenaan dijangka mempunyai lapan landasan, termasuk satu untuk kegunaan tentera. Ketika itu, ia dijangka mampu mengendalikan 100 juta penumpang setahun, menjadikannya terminal tunggal terbesar dunia dari segi jumlah penumpang.

Ketika ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield–Jackson di Atlanta, Amerika Syarikat, boleh menerima lebih 100 juta penumpang tetapi menggunakan dua terminal.

Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing sekarang, yang kedua terbesar dunia, sudah melebihi kapasiti dengan lebih 100 juta penumpang setahun.

Pengangkutan udara sedang rancak di China berikutan kenaikan taraf hidup rakyatnya yang gemar melancong selain semakin ramai pelancong memasuki negara itu.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa, China dijangka mengatasi Amerika sebagai pasaran penerbangan terbesar dunia pada pertengahan dekad 2020.

Keseluruhan projek itu menelan belanja RM72.37 bilion. Gambar Agensi

Negara itu dijangka mencatat 1.6 bilion penerbangan setiap tahun mulai 2037, tambahan satu bilion berbanding 2017.

Beijing sebagai ibu negara China yang mempunyai 21 juta penduduk, dijangka menerima kunjungan 170 juta pelancong pada 2025 yang dikendalikan kedua-dua lapangan terbang.

Dengan keluasan 700,000 meter persegi atau 100 padang bola, terminal lapangan terbang baru itu direka arkitek Anglo-Iraq, Zaha Hadid yang meninggal dunia pada 2016, akan menjadi yang terbesar di dunia.

Stesen kereta api terletak di bawah terminal membolehkan penumpang membuat perjalanan antara lapangan terbang dengan Beijing dalam masa 20 minit.

Keseluruhan projek itu menelan belanja 120 bilion yuan (RM72.37 bilion) atau lebih RM200 bilion jika termasuk pembinaan landasan kereta api dan jalan raya.

Stesen televisyen kerajaan, CCTV, melaporkan gabungan SkyTeam meliputi Delta Air France dan KLM akan berpindah ke lapangan terbang baru itu bersama rakan kongsi mereka, Eastern Airlines dan China Southern Airlines. – Agensi