Jabatan Air Sabah serap 1,137 Pekerja Sambilan Harian

Peter Anthony melawat Loji Rawatan Air Kogopon di sini, hari ini. – Gambar BERNAMA

PAPAR, 8 Julai – Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sudah menyerapkan 1,137 Pekerja Sambilan Harian di bawah jabatan itu berikutan keputusan kerajaan negeri mengambil alih 58 loji rawatan air dari enam syarikat penyelenggara loji itu tahun lepas.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony berkata 427 orang lagi belum diserapkan atas faktor kelulusan akademik kerana mereka perlu mengikuti kursus kemahiran sebelum diserapkan.

“Walaupun dari segi kelulusan akademik, mereka tidak layak di bawah skim kerajaan negeri, kita beri kelonggaran dengan membuat satu skim supaya mereka boleh diberi kemahiran untuk tempoh selama sebulan atau tiga bulan bagi membolehkan mereka diserap sebagai kakitangan di bawah JANS,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air Kogopon di sini, hari ini.

Beliau berkata jawatan diberikan kepada mereka adalah lebih tinggi berbanding ketika mereka bekerja di syarikat penyelenggaran loji rawatan air sebelum ini.

Pada Disember tahun lepas, kerajaan negeri melalui JANS telah mengambil alih kesemua 58 loji air di seluruh negeri daripada syarikat konsesi yang diberikan kontrak oleh kerajaan terdahulu.

Berikutan itu, kesemua pekerja yang terlibat telah diberikan surat untuk terus bekerja dan diserapkan ke bawah JANS bagi mengelakkan mereka kehilangan pekerjaan.

– BERNAMA