Syarikat Jepun Minat Jadikan Pulau Sulug Sebagai Pulau Eko Pelancongan

MOHD Shafie pada sidang media ketika menerima kunjungan Hormat Delegasi Pelaburan Jepun. – Foto Edmund Samunting

Sektor tenaga, eko-pelancongan Sabah jadi tumpuan pelabur Jepun

KOTA KINABALU: Sabah terus menjadi tumpuan pelabur asing, khususnya dari Jepun, yang menyatakan minat menanam modal di negeri ini dalam sektor eko-pelancongan dan penjanaan tenaga berasaskan kuasa solar.

Ia dinyatakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas menerima kunjungan hormat kumpulan pelabur dan wakil beberapa firma terkemuka dari negara itu, di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan proses pelaburan itu membabitkan cadangan pembinaan pusat peranginan di Pulau Sulug bagi tujuan eko pelancongan, selain pembangunan ladang solar berteknologi tinggi ke arah kelestarian sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

“Mereka menyatakan minat melabur dalam sektor pelancongan, termasuk mencadangkan Pulau Sulug untuk menempatkan pusat peranginan mereka, selain membangunkan ladang solar berteknologi tinggi.

“Ini tentunya mewujudkan satu lagi platform untuk membawa masuk lebih ramai pelancong ke Sabah, khususnya dari Jepun. Mereka juga berminat melabur dalam sektor penternakan organik membabitkan kerjasama sebuah syarikat besar dari sana,” katanya.

Kunjungan Hormat Delegasi Pelaburan Jepun itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Wanoyu Global Company Limited, Nikko Doh.

Mohd Shafie ketika mengulas lanjut, kerajaan negeri akan mencari jalan terbaik kerana Pulau Sulug terletak dalam kawasan perlindungan Taman-Taman Sabah.

“Ia masih di peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan lagi, malah ada lagi yang perlu diperhalusi,” katanya.

Mengenai pembangunan ladang solar itu, beliau berkata, pelabur berminat mencari kawasan seluas 10 hektar di negeri ini bagi tujuan berkenaan.

Sementara itu Nikko yang bertindak sebagai jurucakap kepada pelabur dari Jepun itu, berkata Jepun komited membawa lebih ramai pelabur ke Sabah, selain membantu meningkatkan lagi sosio-ekonomi negeri ini, termasuk dalam sektor hartanah.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *