Sepasang Tunangan Ditahan Miliki 1.5 KG Syabu Bernilai RM75,000

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass (tengah) bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sabah Superitendan Ahmad Jawila (dua kanan) pada sidang media di IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Helah sepasang tunangan warga asing yang baharu selesai membeli belah dengan membawa dadah jenis syabu didalam sebuah beg kertas tidak menjadi apabila kedua mereka ditahan sepasukan anggota polis di hadapan sebuah bank di Jalan Sagunting, di sini, Selasa lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata tangkapan dibuat oleh anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah dibantu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu pada jam 10.30 malam.

Barang kes yang dirampas pihak polis selepas sepasang tunangan warga asing diberkas di Jalan Sagunting, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ketika serbuan dilakukan, suspek lelaki berumur 20-an sedang memegang sebuah beg kertas berwarna hijau yang tertera nama sebuah pasaraya.

“Semasa pihak polis melakukan pemeriksaan, terdapat satu sarung beg bewarna putih didalam beg kertas itu. Pemeriksaan lanjut mendapati, didalam sarung itu terdapat sebuah beg alat solek wanita bewarna biru.

“Apabila pihak polis membukanya, terdapat satu bungkusan besar plastik lutsinar berisi hablur jernih yang dipercayai dadah jenis Methamphetamine atau syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut Zaini, pemeriksaan lanjut juga telah menemukan sebuah lagi bungkusan teh cina berwarna hijau dalam beg sarung yang ditemukan itu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass (tengah) bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sabah Superitendan Ahmad Jawila (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas polis dari sepasang tunangan warga asing pada sidang media di IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Apabila bungkusan teh cina ini dibuka, pihak polis telah berjaya menemukan lagi sebanyak 10 paket plastik kecil lutsinar berisi dadah jenis syabu dalam bungkusan itu,” katanya.

Jumlah keseluruhan berat dadah yang dirampas pihak polis seberat 1.5 kilogram dengan nilai rampasan sebanyak RM 75,000.

“Siasatan awal mendapati, suspek memperolehi dadah terbabit dari seorang lelaki warga asing di sebuah kawasan di Sepanggar.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass menunjukkan dadah yang disembunyikan dalam sebuah beg alat solek wanita pada sidang media di IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pihak polis yakin dadah ini cuba diseludup masuk ke Kota Kinabalu melalui pengangkutan darat. Siasatan dan risikan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan pembekal dadah ini,” katanya.

Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula semalam sehingga 9 Julai.

“Hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan akan dikenakan jika sabit kesalahan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Tambah Zaini, rampasan ini merupakan kejayaan rampasan dadah terbesar bagi daerah Kota Kinabalu setakat tahun ini.

“Selain itu, pihak polis juga turut berjaya membuat sitaan harta melibatkan tiga jenis kenderaan mewah, seutas jam tangan berjenama dan wang tunai dengan nilai sitaan sebanyak RM 255,400 berkaitan kes yang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahay 1953 (Pelucutan Harta) 1988,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *