Pembinaan Asrama SK Balambangan Sumbangan Petronas Siap September

Bangunan Asrama Harian Luar Bandar tajaan Petronas yang pertama di Sabah.

KUDAT, 4 Julai – Projek pembinaan Asrama Harian Luar Bandar di Sekolah Kebangsaan Balambangan yang dibiayai oleh Petronas dekat sini sejak bulan April tahun lepas berjalan dengan lancar dan kemudahan itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan September ini.

Ketua Petronas Sabah dan Labuan Rokiah Sulaiman berkata projek bernilai RM4 juta itu merupakan sebahagian daripada sumbangan syarikat petroleum berkenaan dalam meningkatkan prasarana pendidikan di luar bandar di negeri Sabah.

Rokiah melawat perkembangan projek membina AHLB di SK Balambangan.

Beliau berkata apabila siap pada bulan September ini, dua blok asrama yang turut dilengkapi dengan dewan makan, surau, pejabat warden dan sistem dinding tiub itu mampu memuatkan 60 pelajar lelaki dan 60 pelajar perempuan.

Bangunan Asrama Harian Luar Bandar tajaan Petronas yang pertama di Sabah.

“Pembinaan asrama ini merupakan salah satu daripada dua projek infrastruktur pendidikan yang diumumkan oleh Petronas di Sabah untuk meningkatkan akses pendidikan di kalangan pelajar Sabah,” katanya ketika ditemui pada lawatan media ke asrama itu, hari ini.

Menurutnya satu lagi projek yang dibiayai oleh Petronas di Sabah adalah pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau untuk kapasiti 400 pelajar yang sudah dimulakan pada tahun ini dan dijangka siap pada tahun 2021.

Rokiah berkata pembinaan asrama harian SK Balambangan akan menambah jumlah pelajar boleh tinggal di asrama khususnya pelajar yang rumah mereka jauh dari kawasan sekolah dan seterusnya mengatasi masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah.

Sementara itu, Guru Besar SK Balambangan Salmat Besar berkata sekolah itu mempunyai 10 orang guru dan 78 pelajar yang merupakan penduduk dari empat kampung di sekitar pulau itu, yakni Kampung Selamat, Kampung Selamat Darat, Kok Simpul dan Batu Sirih.

Katanya pada masa sekarang terdapat 20 pelajar tinggal di asrama yang ada, iaitu 10 pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan Tahun Enam dari Kampung Batu Sirih dan Kok Simpul.

Rokiah (dua kiri) bersama Noor Ilias (empat kanan) ketika melawat salah satu blok Asrama Harian Luar Bandar di SK Balambangan, Banggi, di sini pada Khamis.

“Asrama ini dibina bagi mengurangkan jumlah ketidakhadiran pelajar khususnya membabitkan Tahun Enam yang tinggal jauh dari kawasan sekolah,” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Balambangan Azmi Kaba pula berkata pembinaan asrama harian yang ditaja oleh Petronas itu membolehkan lebih ramai murid tinggal di asrama.

Katanya asrama itu akan memberikan banyak manfaat dan kemudahan, khususnya kepada pelajar yang tinggal jauh dari kawasan sekolah terutama dari Kampung Kok Simpul yang terpaksa berjalan kaki selama sejam untuk sampai ke sekolah, dan pelajar dari Batu Sirih yang perlu menaiki bot.

Menurutnya bagi pelajar dari kampung Kok Simpul mereka juga berhadapan ancaman bahaya hidupan liar seperti babi hutan, kerana mereka terpaksa meredah kawasan hutan untuk ke sekolah.

Bagi pelajar dari Kampung Batu Sirih, kehadiran mereka ke sekolah bergantung kepada cuaca dan jika cuaca buruk mereka tidak dapat pergi ke sekolah ataupun masalah bot jika tiada bekalan minyak, katanya.

Pulau Balambangan terletak 40 minit perjalanan menaiki bot dari Pekan Kudat dan terletak bersebelahan dengan Pulau Banggi.

Terdapat hampir 400 penduduk kampung di pulau itu yang kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *