Lari Dari Tahanan, Polis Buru Dua Lelaki Tempatan

Zaini (kanan) bersama Habibi menunjukkan dua wajah suspek buruan polis ketika sidang media di IPD Kota Kinabalu. – NSTP/Khairull Azry Bidin

Dua tahanan larikan diri diburu

KOTA KINABALU: Polis memburu dua lelaki yang melarikan diri dari tahanan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, kedua-dua lelaki tempatan itu melarikan diri selepas dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM500 atas kesalahan memiliki barang curi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata sebelum kejadian, kedua-dua suspek yang bergari ditempatkan di lokap sementara mahkamah.

Katanya, ketika itu, peguam bela kedua-dua suspek sedang memfailkan rayuan yang dijangka untuk pendengaran pada sebelah petang hari yang sama.

“Sementara menunggu proses memfailkan rayuan, kedua-dua suspek ditempatkan di dalam lokap mahkamah.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek berjaya membuka pintu lokap sebelum melarikan diri dari bangunan Mahkamah ke jalan utama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Zaini berkata, suspek dikenal pasti sebagai Affandy Zaineh, 31, manakala seorang lagi Mohd Zaini Mohamad Mahdi, 26, dan kedua-dua mereka beralamat terakhir di Likas.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari tahanan yang sah.

“Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *