Dewan Rakyat Lulus RUU, Had Umur Belia Kini 15 Hingga 30 Tahun

Menurut Syed Saddiq, tempoh transisi selepas pindaan RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia ini diwartakan akan bermula pada 31 Disember 2021. 

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668).

Ia selepas Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengemukakan undian secara suara selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggulung usul tersebut.

Selain menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak lebih empat tahun bersamaan dua penggal.

Bagaimanapun, jelas Syed Saddiq, tempoh transisi selepas pindaan RUU ini diwartakan akan bermula pada 31 Disember 2021.

“Bahawa akan ada transisi, memang sudah dimasukkan iaitu transisi pada usia 30 itu hanya akan bermula pada 31 Disember 2021. Maksudnya, ada tempoh (transisi) yang agak panjang.

“Sekarang ini fokusnya hanya kepada (usia) 35 tahun terdahulu. Cuma ia tidak dimasukkan dalam akta kerana kalau dimasukkan dalam akta, perlu buat pindaan dua kali, agak bazir masa. Ia hanya perlu pindaan di peringkat pentadbiran,” katanya.

Beliau sebelum itu menyifatkan pertubuhan pergerakan belia sedia ada dilihat semakin lesu dan tidak lagi menjadi medium penting perhubungan belia dengan jumlah keahlian yang semakin berkurangan.

Jelasnya, dua faktor utama kepada isu itu ialah kegagalan mengadaptasi perubahan dalam corak gaya hidup dan pemikiran belia masa kini serta kurangnya pimpinan pelapis yang boleh menggantikan pemimpin belia sedia ada.

Secara rasionalnya, pihaknya melihat Akta 668 akan memberi implikasi berganda kepada pembangunan belia dengan perubahan yang dilaksanakan terutama pindaan ke atas tafsiran had umur belia.

Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *