Terperangkap Lebih 10 Minit, Lelaki Buta Nyaris Rentung

Mangsa kebakaran di Kampung Kinabutan Kecil, Tawau, Syarifuddin Tondang (kanan) dan isterinya, Mashitah Nurung. – Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Seorang lelaki cacat penglihatan nyaris rentung apabila terperangkap lebih 10 minit dalam rumahnya dalam kebakaran di Kampung Kinabutan Kecil, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Syarifuddin Tondang, 57, yang tinggal bersendirian selepas isteri dan anaknya keluar bekerja, berjaya diselamatkan penduduk kampung yang bertindak memecahkan pintu rumah mangsa.

Isterinya, Mashitah Nurung, 40, berkata sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia bergegas pulang sebelum mendapati suaminya terkunci di dalam rumah.

“Mujur dengan bantuan orang ramai, suami berjaya dibawa keluar dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Esah Wahid, 63, berkata ketika kejadian dia sedang menunaikan solat sunat Dhuha.

Bagaimanapun, katanya, ketika sedang sujud pada rakaat terakhir, dia terasa bahang panas dari arah dinding rumah sebelum terdengar jeritan dan bunyi bising serta panik di luar rumah.

“Sebaik selesai solat, dalam keadan masih bertelekung, saya berlari keluar untuk menyelamatkan diri apabila melihat api mula membakar bahagian dinding rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin, berkata sebanyak 86 rumah termasuk deretan rumah kongsi, musnah sepenuhnya dalam kebakaran membabitkan keluasan kira-kira 0.8 hektar itu.

Katanya, faktor kedudukan rumah yang dibina terlalu rapat antara satu sama lain serta struktur binaan daripada papan menyebabkan api merebak dengan cepat.

“Operasi mengawal dan memadam kebakaran yang mengambil masa hampir satu jam berjaya menyelamatkan puluhan lagi rumah. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.45 tengah hari,” katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dengan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *