Pasukan Tarian Dari Beberapa Sekolah Rendah Di Sabah Berjaya Menjulang Nama Malaysia Dalam Dance World Cup 2019 Di Portugal

Muhammad Fakhrul Afif bersama Ameena Zulaikah dan Sentiani Benjamin yang berjaya mengharumkan nama negara.

KOTA KINABALU: Pasukan tarian dari beberapa sekolah rendah di Sabah berjaya menjulang nama Malaysia dalam Dance World Cup 2019 yang berlangsung di Altice Forum, Braga, Portugal, pada Ahad petang, waktu tempatan.

Keunikan dan kekayaan budaya etnik berbilang kaum yang ada di Sabah ternyata memberikan kelebihan kepada pasukan negara apabila merangkul pingat emas menerusi kategori Children Duet/Trio National Folklore.  

Mereka ialah pelajar cilik daripada Sekolah Kebangsaan (S.K.) Stella Maris, Muhammad Fakhrul Afif, Ahmad Mikail Damsal Abdul Hakim dan Oscar Neil Gelibat menerusi tarian etnik tempatan, Nambuyunan.

Sekali lagi, pelajar SK Stella Maris Mohd. Fakhrul Afif, 12, mempersembahkan tarian etnik Brunei iaitu Ag. Alak Betatar memenangi pingat emas bagi Kategori Solo Children National Folklore.  

Untuk kategori sama, pelajar Tahun Enam S.R.K. St Agnes, Ameena Zulaikha Amlee,12, pula memungut gangsa menerusi tarian Rala’a yang diilhamkan dari tarian etnik suku kaum Murut.

Sementara itu, S.K. Mutiara Kota Kinabalu turut berjaya membawa balik pingat emas melalui kategori Children Small Group National Folklore Dance.

Pelajar bergambar bersama ibubapa sebelum bertolak ke Portugal.
Pelajar bergambar bersama ibubapa sebelum bertolak ke Portugal.

Perjalanan hampir 30 jam merentas benua ternyata tidak melunturkan semangat pasukan negara untuk mempamerkan persembahan terbaik di peringkat akhir dalam pertandingan antarabangsa berkenaan.

Dance World Cup 2019 merupakan sebuah pertandingan tahunan pelbagai genre tarian dan berjaya menarik penyertaan lebih 20,000 penari pada tahun 2019 dari seluruh dunia.

Utusan Borneo