Ganjaran Menanti Tambadau Sabah Jika Juara Liga Premier 2019

Peter bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa eksekutif Safa hari ini.

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Safa Datuk Peter Anthony membayangkan para pemain pasukan Tambadau Sabah bakal mendapat ganjaran daripada Kerajaan negeri sekiranya muncul juara Liga Premier musim ini.

Katanya agak lama pasukan Sabah tidak memenangi piala bola sepak oleh itu beliau merasakan pemberian imbuhan untuk para pemain bukan perkara mustahil jikalau pada tahun ini mereka berjaya membawa pulang piala Liga Premier.

eter (duduk tengah) bersama pengurusan pasukan Tambadau dan pemain.

Kali terakhir Sabah memenangi Liga Perdana (sebelum Liga Super diperkenalkan) ialah 23 tahun lalu.

Lagipun, menurutnya Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga merupakan penyokong kuat skuad Tambadau.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada pasukan Sabah akan diberi ganjaran jikalau menjuarai Liga Premier musim ini.

“Kita sekarang berada di platform terbaik untuk menjuarai Liga Perdana dan seterusnya mara ke Liga Super para tahun ini.

“Dengan berbaki empat perlawanan lagi saya amat berharap sekiranya perlawanan kedua terakhir musim ini yang juga terakhir di Stadium Likas menentang Kelantan, kita sudah dinobatkan sebagai juara liga,” katanya.

Tambadau Sabah akan menentang pasukan tangga kedua, JDT II pada Jumaat ini di Stadium Larkin, Johor.

Perlawanan ketiga terakhir skuad Tambadau musim ini ialah menentang UiTM FC di Stadium Shah Alam pada 9 Julai sebelum kembali ke Stadium Likas pada 13 Julai.

Perlawanan terakhir melabuh tirai musim ini ialah menentang Terengganu FC II di Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Dalam perkembangan lain, Peter berkata, Safa akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 16 Julai ini bagi memutuskan tarikh kongres persatuan akan datang.

“Dalam EGM itu nanti juga, kita akan membincangkan beberapa perkara penting termasuk pindaan terhadap beberapa perlembagaan bagi mengemas kini serta memantapkan lagi SAFA,” katanya.

Dalam pada itu, Peter turut mengumumkan akan bertanding jawatan presiden pada kongres akan datang namun berkata ia terpulang kepada wakil ahli gabungan untuk menentukannya.

“Jika ada pertandingan jawatan presiden dan juga jawatan-jawatan lain, kita akan adakan secara terbuka.

“Ya saya akan bertanding (jawatan presiden SAFA), tetapi bagi saya jawatan itu tidak penting, apa yang penting adalah pengurusan yang baik,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *