Berada dalam keadaan emosi yang tidak baik akan menyebabkan seseorang terjerumus kepada melakukan tindakan yang tidak rasional. Perkara ini jelas boleh digambarkan melalui satu insiden yang berlaku di Indonesia di mana seorang warga tempatan membawa seekor anjing ke dalam masjid. Kejadian di Masjid Al Munawaroh, Sentul City, Bogor, Jawa Barat itu berlaku setelah solat Zohor selesai dikerjakan oleh jemaah.
Kejadian tersebut telah dirakam oleh salah seorang jemaah yang ternampak seorang wanita membawa seekor anjing memasuki ruangan solat. Kejadian tersebut telah menjadi tular di dalam media sosial di Indonesia dan juga Malaysia yang rata-rata telah mengundang kemarahan para netizen.
Lebih teruk lagi, wanita tersebut juga didapati tidak menanggalkan kasutnya ketika memasuki ruang solat dan secara tidak langsung telah mencemarkan kesucian dan kebersihan masjid berkenaan.
“Suami saya mahu bernikah di sini”
Menurut laporan, wanita tersebut berada di dalam keadaan beremosi setelah mendapat tahu bahawa suaminya akan menjalankan proses akad nikah di dalam masjid berkenaan. Disebabkan itu, dia membawa anjing tersebut untuk mengesan keberadaan suaminya. Walaupun telah dihalang oleh beberapa orang, wanita tersebut nekad melepaskan anjingnya di perkarangan masjid dan membuatkan anjing tersebut berkeliaran.
Walau bagaimanapun, wanita tersebut telah ditahan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan keterangan. Rakaman telah dimuat naik dalam media sosial bagaimanapun telah mengundang reaksi marah netizen.
“Kurang adab….hormatilah agama Islam, jangan mulakan perbalahan”
“Sengaja nak menghina kesucian rumah Allah”
Sumber: RmolSumsel / SiakapKeli