Penduduk Kampung Bisuang Bantah Cadangan Bina Empangan Air Di Papar

Penduduk Kampung Bisuang, Papar, berkumpul secara aman tanda protes terhadap kerajaan Sabah berikutan cadangan pembinaan empangan air di kampung itu. – Foto ihsan pembaca

PAPAR: Lebih 200 penduduk Kampung Bisuang, Papar, berkumpul secara aman tanda protes terhadap kerajaan Sabah berikutan cadangan pembinaan empangan air di kampung itu.

Presiden Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Asli Sabah (Agaras), Michael Frederick, berkata mereka bukan sahaja tidak bersetuju dengan cadangan itu, malah menafikan kenyataan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony yang mendakwa cadangan itu dipersetujui penduduk kampung.

Penduduk Kampung Bisuang, Papar, berkumpul secara aman tanda protes terhadap kerajaan Sabah berikutan cadangan pembinaan empangan air di kampung itu. – Foto ihsan pembaca

Katanya, sebaiknya kerajaan mengadakan sesi dialog dengan penduduk kampung bagi memberi penerangan rasional cadangan pembinaan empangan Kaiduan dibatalkan sebelum projek itu dipindahkan di sini.

“Penduduk kampung tidak pernah bersetuju dengan cadangan empangan ini dipindahkan ke sini. Hari ini, kami mahu menafikan kenyataan yang dibuat Datuk Peter dan Ketua Menteri Sabah.

Presiden Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Asli Sabah (Agaras), Michael Frederick. – Foto ihsan pembaca

“Kalau boleh kita juga minta agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Air, Jabatan Kerja Raya atau mana-mana agensi tampil memberi penerangan kerana penduduk risau kawasan kampung akan ditenggelami air sekiranya projek ini diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, apa yang menjadi kebimbangan penduduk di Kampung Kaiduan sebelum ini sudah pasti akan sama dirasai penduduk Kampung Bisuang.

Katanya, sekiranya projek pembinaan itu perlu diteruskan, penduduk terbabit perlu dibayar pampasan secukupnya dan seadilnya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan akan membatalkan pembinaan empangan Kaiduan dan dipindahkan ke kawasan Kampung Bisuang, di sini.

Namun, keputusan itu tidak sedikitpun melegakan penduduk kerana kawasan cadangan baharu ini terletak di sungai sama dan hanya dipisahkan beberapa kilometer.

Berita Harian