Media Mainkan Peranan Penting Pupuk Keamanan Dan Keharmonian

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Media berperanan penting pupuk keamanan, keharmonian

LAHAD DATU: Media diminta berperanan dalam memupuk keamanan, menjaga keharmonian dan mengelak konflik serta menentang penyebaran berita palsu di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perlu disedari dunia hari ini memperlihatkan banyak maklumat disebarkan secara bebas melalui laman sosial.

Katanya, sekiranya ia disalah guna, perkara itu memberi impak negatif kepada individu, masyarakat dan negara terutama yang berkait rapat dengan isu keselamatan negara.

“Perkara ini menjurus kepada peranan media dalam memupuk keamanan, menjaga keharmonian, mengelakkan konflik, dan menentang penyebaran maklumat serta berita palsu.

“Mesej yang disampaikan harus mampu mengubah persepsi dan sikap masyarakat terhadap sesuatu perkara terutamanya dalam aspek keselamatan,” katanya pada Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Persekutuan dan Sambutan Hari Raya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali.

Mohd Shafie berkata, dalam konteks itu, masyarakat selaku pengguna komunikasi media juga perlu bijak dalam menilai kesahihan sesuatu mesej sebelum disebarkan.

Sementara itu, Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali, berkata pihaknya memerlukan rakan media untuk menyampaikan maklumat keselamatan tepat kepada masyarakat.

Katanya, pengamal media perlu memainkan peranan yang penting dalam memberi maklumat yang tepat dan cepat kepada masyarakat umum.

“Keyakinan masyarakat berhubung keselamatan yang terjamin akan dapat membantu meningkatkan ekonomi.

“Oleh itu, saya berharap tidak ada pihak yang memanipulasikan isu keselamatan hingga menimbulkan rasa takut dan tidak selesa dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya

Hazani berkata, sebaiknya media digalakkan membuat pengesahan dengan pihak berkuasa sebelum sesuatu isu disebarkan kepada masyarakat.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *