Tamu Ahad Sabindo (TAS) Tarikan Baharu Bandar Tawau

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Ir Amrullah Kamal (tengah) memotong ribbon sempena Pra Pelancaran Tamu Ahad Sabindo di Jalan Habib Sheikh di Tawau.

TAS tarikan baharu bandar Tawau

Tamu Ahad Sabindo (TAS) yang beroperasi secara rasmi mulai hari ini bagi menggantikan Tamu Mingguan Takada, di sini, bakal menjadi tarikan baharu bandar ini.

Suasana Tamu Ahad Sabindo di Jalan Habib Sheikh yang beroperasi secara rasmi mulai hari ini bagi menggantikan Tamu Mingguan Takada, bakal menjadi tarikan baharu bandar Tawau.

Selain menempatkan lebih 700 gerai jualan, lokasi baharu TAS di Jalan Habib Sheikh sepanjang satu kilometer itu turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan pelbagai kemudahan lain termasuk ruang letak kereta yang luas dan tandas lebih selesa.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Datuk Ir Amrullah Kamal, berkata keputusan memindahkan Tamu Mingguan Takada dibuat selepas mengambil kira banyak faktor selain beberapa isu yang dibangkitkan pelbagai pihak.

Beliau berkata, lokasi baharu TAS jauh lebih luas dan selesa kerana mampu menempatkan lebih 700 gerai berbanding hanya 315 gerai sebelum ini, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai usahawan menjalankan perniagaan.

Aktiviti busking di Tamu Ahad Sabindo, Tawau

“Pihak MPT juga mengambil kira maklum balas polis berhubung keadaan di Tamu Takada sudah terlalu sesak dan tidak mampu menampung jumlah pengunjung selain masalah kebersihan, isu sampah dan gangguan aliran trafik.

“Justeru, hari ini adalah detik bersejarah bagi penduduk dari segenap penjuru daerah ini termasuk dari Kalabakan, Pulau Sebatik, Semporna dan Kunak boleh berkunjung ke lokasi TAS ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Payung Bersepadu sempena Pra Pelancaran Pembukaan TAS, di sini, hari ini.

Mengenai ops bersepadu itu beliau berkata, anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi akan ditempatkan sepanjang operasi TAS yang bermula jam 6 pagi hingga 1 tengah hari.

Katanya, melalui pemantauan dan rakaman CCTV juga, mana-mana peniaga yang didapati melanggar peraturan dan syarat ditetapkan akan berdepan tindakan tegas termasuk lesen dan permit perniagaan ditarik balik.

“Melalui slogan Sayangilah Bandar Tawau, kita juga menyeru orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan bagi memberi imej yang baik kepada bandar Tawau,” katanya.

Sementara itu, pengunjung, Abdul Halim Sulaiman, 40, berkata lokasi baharu TAS di tengah pusat bandar memudahkan orang ramai untuk datang berbelanja selain kemudahan letak kereta yang lebih selesa.

“Sebelum ini, Tamu Takada agak sukar untuk mencari tempat meletak kenderaan dan terpaksa datang awal berbanding di sini,” katanya.

Bagi peniaga ikan bilis, Badawai Ibrahim, 57, dari kampung Indarasabah berkata, tapak gerai disediakan MPT lebih teratur dan selesa sekali gus melicinkan aktiviti jual beli.

“Setakat ini sambutan daripada pengunjung amat menggalakkan walaupun ini hari pertama beroperasi di sini,” katanya yang datang seawal jam 4 pagi bagi memulakan perniagaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *