KOTA KINABALU: Yayasan Sime Darby (SDF) memperuntukkan RM4 juta untuk menyokong usaha kerajaan negeri melalui Pelan Tindakan 2019-2028 bagi melindungi hidupan liar di negeri ini daripada ancaman pemburu haram dan penyeludupan.
Peruntukan bagi tempoh dua tahun itu diagihkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) untuk meningkatkan keupayaan Pasukan Pelindung jabatan berkenaan dengan sasaran untuk mengurangkan aktiviti pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar.
Pengarah Danau Girang Field Centre (DGFC), Dr Benoit Goossens, berkata peruntukan itu diperoleh hasil cadangan pihaknya bersama SFD yang dihantar kepada SDF pada awal tahun ini.
“Ia sebagai maklum balas terhadap tiga pelan tindakan negeri iaitu melindungi banteng Borneo, harimau dahan Sunda dan monyet Belanda dengan tumpuan meningkatkan keupayaan dan keberkesanan agensi negeri melawan pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar.
“Kita sangat berterima kasih kepada SFD kerana melulus dan menyumbangkan RM4 juta selama dua tahun untuk mengembangkan lagi Pasukan Pelindung jabatan itu. Ia akan meningkatkan lagi usaha memelihara hidupan liar di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
DGFC yang berpusat di Kinabatangan adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu pelbagai agensi dalam usaha melindungi hidupan liar di negeri ini.
Goossens berkata, pihaknya mendapati kegiatan pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar semakin membimbangkan sejak kira-kira dua tahun lalu, khususnya gajah, banteng atau tambadau, beruang madu, tenggiling dan penyu.
“Tahun ini saja, Sabah kehilangan lebih 15 ekor gajah akibat ditembak dan diracun di kawasan hutan simpan dan perladangan selain merampas sisik tenggiling, gading gajah dan daging hidupan liar bernilai hampir RM8 juta di Sepanggar dan Tamparuli,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SFD, Datuk Mashor Mohd Jaini, berkata sokongan Sime Darby dapat meningkatkan keupayaan kerajaan negeri, khususnya SFD dalam usaha mengurangkan kes pemburuan haram di Sabah, khususnya di kawasan hutan simpan.
Katanya, Pasukan Pelindung SFD yang diwujudkan pada 2016 dengan kerjasama Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia) memantau kira-kira dua juta hektar hutan simpan, membanteras kegiatan pemburuan haram dan melaksanakan sekatan jalan di lokasi strategik.
“Bagaimanapun, seramai 24 renjer memantau kawasan seluas itu tidak cukup. Sehubungan itu, sokongan SDF sangat penting bagi membolehkan kita menambah kehadiran di lapangan dan melawan kegiatan pemburuan haram serta penyeludupan hidupan liar,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pentadbiran SDF, Caroline Christine Russell, berkata yayasan berkenaan berharap kerjasama pihaknya dapat menggerakkan pasukan baharu yang terlatih bagi melawan aktiviti pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar di hutan simpan.
Katanya, di Sabah kerjasama dengan SFD bermula menerusi usaha memulihkan kawasan hutan seluas 5,400 hektar di Hutan Simpan Bukit Piton sebagai kawasan habitat orang utan yang berjaya meningkatkan kehadiran orang utan di kawasan itu pada November lalu.
“Berikutan itu, SDF menyalurkan dana untuk melatih 25 renjer dan seorang pegawai penyiasat dalam Pasukan Pelindung SFD, selain menyediakan peralatan lengkap bagi memastikan anggota memiliki pengetahuan, kemahiran dan peralatan berkesan untuk berdepan pemburu haram,” katanya.