Penduduk Termasuk Kanak-Kanak Baiki Jalan Di Kampung Saliku

Penduduk termasuk sekumpulan kanak-kanak di Kampung Saliku mengambil inisiatif bergotong royong ‘membaiki’ jalan kampung. – Foto ihsan pembaca

NABAWAN: Penduduk termasuk sekumpulan kanak-kanak di Kampung Saliku, kira-kira 150 kilometer dari bandar ini mengambil inisiatif bergotong royong ‘membaiki’ jalan kampung itu supaya boleh dilalui kenderaan terutama setiap kali selepas hujan lebat.

Baru-baru ini, beberapa gambar dan video tular menerusi WhatsApp memaparkan sekumpulan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Saliku membersihkan lumpur di jalan bagi membolehkan kenderaan melalui jalan itu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Saliku, Ambier Angusah, berkata kejadian itu adalah perkara biasa bagi penduduk kampung.

“Kanak-kanak dan penduduk akan membersihkan lumpur di jalan selepas hujan lebat supaya kenderaan boleh melaluinya.

“Membersihkan lumpur menggunakan cangkul adalah rutin harian kami terutamanya pada hujung minggu termasuk guru yang biasanya pulang ke rumah atau ke sekolah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ada lima sekolah lain di kawasan itu dan kira-kira 300 penduduk menetap di kampung berkenaan.

Ambier berkata, jalan itu tidak pernah dibaiki menyebabkan penduduk kampung terpaksa mencari jalan penyelesaian untuk membaikinya sendiri termasuk membina jambatan menggunakan pokok.

Katanya, setiap hari, murid sekolah perlu berjalan kira-kira sejam untuk ke sekolah menggunakan laluan sama.

“Disebabkan lumpur di jalan itu, pakaian mereka sering kotor dan disebabkan alasan sama, beberapa murid berhenti ke sekolah (kerana penat berjalan terlalu lama).

“Bukan itu saja, ia sangat menyusahkan apabila berlaku kecemasan dan terdapat banyak kematian akibat serangan jantung, asma dan bersalin kerana penduduk tidak mendapat rawatan perubatan disebabkan jalan yang tidak dapat dilalui,” katanya.

Sehubungan itu, Ambier berharap kerajaan mengambil tindakan berhubung nasib penduduk di kawasan itu.

Berita Harian