Mayat Lelaki Ditemui Di Sungai Tuaran Dekat Kampung Bantayan

Mayat lelaki ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan memakai topi keledar di tepi Sungai Tuaran berhampiran Kampung Bantayan, Tamparuli. – Foto ihsan Polis

Mayat lelaki berpakaian lengkap dan memakai topi keledar ditemui di tepi Sungai Tuaran berhampiran Kampung Bantayan, Tamparuli, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mayat Walter Jaimis Charles, 46, yang berasal dari Kampung Kotunuan Baru, Kiulu, ditemui beberapa penduduk kampung yang sedang memancing di kawasan itu sebelum melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata siasatan awal mendapati pengadu serta beberapa rakannya sedang memancing sebelum terlihat objek seperti badan manusia yang terbaring di tepi sungai.

“Mayat itu dilihat dalam keadaan tertiarap dan masih berpakaian lengkap serta memakai topi keledar.

“Siasatan kes diteruskan namun setakat ini pihak polis percaya mangsa mati lemas sejak sehari lalu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hamizi berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dan meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tuaran, Abdul Qawi Abdul Gapar, berkata sebaik menerima panggilan jam 10.38 pagi, empat anggota bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mayat berkenaan terdampar di tepi sungai sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan jam 11.10 pagi,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *