Madrasah Al Hikmah Kampung Likas Beri Peluang Pendidikan Kepada Kanak-Kanak Tanpa Dokumen

KOTA KINABALU, 28 Jun – Madrasah Al Hikmah Kampung Likas di sini memberi peluang pendidikan hampir setaraf dengan sekolah kerajaan kepada anak-anak tanpa dokumen di daerah ini.

Madrasah yang ditubuhkan pada 2005 dengan hanya 17 murid, kini mempunyai hampir 500 orang murid dan enam tenaga pengajar.

Guru besar madrasah itu, Jubaira Uddin berkata pelajar hanya perlu membayar yuran RM20 setiap bulan untuk bersekolah di madrasah berkenaan.

Katanya yuran berkenaan merupakan sumber kewangan utama madrasah itu untuk membiayai tenaga pengajar, bil elektrik dan bil air.

“Kami mahu anak-anak tanpa dokumen mendapat pendidikan yang baik agar mereka terpelihara daripada budaya negatif akibat terpinggir dari pendidikan,” katanya kepada Bernama di sini.

Madrasah itu merupakan antara dua pusat pendidikan persendirian diwujudkan untuk kanak-kanak tiada dokumen di daerah ini. Sebuah lagi ialah Sekolah Etania, juga terletak di kawasan Likas.

Semalam, Madrasah Al Hikmah menerima kunjungan rombongan pegawai tentera laut Amerika Syarikat, bersempena lawatan Kapal USS Pioner Avengers-Class ke Kota Kinabalu.

Dalam lawatan itu, seramai 15 pegawai tentera laut Amerika telah meluangkan masa selama sejam untuk beramah mesra dengan murid-murid madrasah tersebut sebagai satu usaha merapatkan hubungan komuniti di antara kedua-dua negara.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *