Kerajaan Sabah Tidak Pernah Keluar Kenyataan Batal Pembinaan Empangan Papar

KOTA KINABALU, 28 Jun – Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Kerajaan Negeri tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk membatalkan projek pembinaan empangan Papar.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) hanya membatalkan pembinaan empangan Kaiduan yang diluluskan semasa kerajaan Barisan Nasional kerana mendapat banyak tentangan daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat di kawasan berkenaan.

“Empangan Papar adalah tidak sama dengan empangan Kaiduan… projek pembinaan empangan Kaiduan yang dirancang sebelum ini mahu dibina di kawasan daerah Penampang, sementara empangan Papar pula akan dibina keseluruhannya di daerah Papar.

“Projek pembinaan empangan Papar ini sudah dilihat secara menyeluruh dan ia melibatkan keperluan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Pembangunan Infrastruktur di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, walaupun pembinaan empangan Papar mendapat sedikit tentangan daripada beberapa pihak, namun ia untuk kebaikan dan manfaat rakyat, khususnya di kawasan pantai barat Sabah.            

“Kita tidak mahu nanti rakyat akan membantah kerana tidak ada air… Oleh itu masalah kekurangan air pada masa kini perlu diatasi dengan segera.

“Contohnya, pembinaan empangan Bakun dahulu juga mendapat tentangan masyarakat setempat sehingga ke peringkat antarabangsa. Tetapi sekarang, empangan itu dapat membekalkan elektrik sehingga ke Brunei Darussalam. Ini adalah bukti apa yang berlaku dahulu itu ternyata mampu memberi manfaat dalam jangka masa panjang,” tambahnya.

Selain itu, empangan Papar yang akan dibuat juga adalah dua dalam satu iaitu turut dapat membekalkan tenaga elektrik,” katanya.

Rabu lepas, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony ketika melawat tapak Empangan Papar menyatakan pembinaan empangan itu akan dimulakan sebaik sahaja pelan baharu siap.

Pembinaan Empangan Papar akan dilaksana di kawasan sungai berhampiran Kampung Menderingin, Papar dan apabila siap kelak ia mampu membekalkan 1,000 juta liter air setiap hari (MLD).            

— BERNAMA