Penerbit Berita Perlu Berhati-Hati, Facebook Lancar Program Semakan Fakta Pihak Ketiga Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Mulai sekarang, penerbit berita di Malaysia perlu berhati-hati apabila menyiarkan artikel dalam Facebook susulan pelancaran program semakan fakta pihak ketiga baru-baru ini oleh platform sosial itu dengan kerjasama Agence France-Presse (AFP).

Program itu, yang bermula hari ini, bertujuan mengurangkan penyebaran maklumat palsu dalam talian dan membantu membentuk masyarakat yang lebih berinformasi di negara ini.

Ia turut membabitkan semakan semula dan mengkaji semula ketepatan berita dalam Facebook, termasuk foto dan video, oleh AFP.

Pengurus Rakan Strategik Facebook Malaysia Alice Budisatrijo, berkata memerangi kandungan tidak sah dan menangani pengedaran berita palsu dalam Facebook merupakan sebahagian besar daripada usaha mereka untuk memastikan berita berkualiti tinggi diperoleh pembaca dalam platform sosial.

“Apabila kita bercakap tentang kandungan tidak sah, sudah tentulah antaranya berita palsu, salah maklumat… tetapi juga kandungan yang disebarkan oleh pelaku buruk — orang yang berniat tidak baik semasa mereka menggunakan Facebook.

“Jelas sekali, kami tidak mahu mereka (pelaku jahat), sebab apabila orang melayari Facebook, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan berita dalam Facebook, kami mahu mereka mencari berita bermaklumat yang berwibawa, bermutu tinggi, yang mudah-mudahan turut menghiburkan,” katanya ketika mengumumkan pelancaran program semakan fakta pihak ketiga di ibu pejabat Facebook Malaysia di sini.

AFP diperakui oleh Rangkaian Penyemak Fakta Antarabangsa bukan partisan Poynter Institute.

Menerusi program itu, AFP akan menyemak fakta kandungan Facebook dalam bahasa Inggeris dan Melayu berlandaskan kriteria standard untuk menentukan kesahihan sesuatu berita.

Menurut Budisatrijo, apabila semakan fakta pihak ketiga menentukan sesuatu berita itu sebagai palsu, ia akan dipaparkan di bahagian bawah dalam News Feed, yang mengakibatkan penyebarannya di media sosial semakin berkurangan.

Sebagai tambahan, apabila semakan fakta pihak ketiga menulis artikel tentang sesuatu kandungan yang dikenal pasti sebagai palsu, Facebook akan secara automatik memaparkan ‘Artikel Terkait’ di bawah artikel yang disebarkan di halaman News Feed.

Bagaimanapun, halaman yang berulang kali berkongsi berita palsu akan mendapati penyebaran itu berkurangan dan keupayaan mereka untuk memperoleh kewangan serta pengiklanan dikeluarkan.

“Dalam perkongsian berita, adalah penting untuk kita membangunkan produk yang akan membantu penerbit. Kami ada program latihan, berkongsi amalan terbaik dan menerima maklum balas daripada banyak penerbit untuk membangunkan produk yang berguna dan memberi latihan bagi wartawan serta orang ramai,” kata Alice.

Facebook kini bekerjasama dengan 54 rakan di seluruh dunia bagi program pemeriksaan fakta, meliputi kandungan dalam 43 bahasa di 57 negara.

Program ini sejajar dengan kerangka tiga bahagian untuk mempertingkatkan kualiti dan berita dalam News Feed, dengan Facebook mengeluarkan akaun dan kandungan yang melanggar Community Standards atau dasar pengiklanan.

Ia turut mengurangkan penyebaran berita palsu dan kandungan tidak sah, dan pada masa sama menambah baik kandungan yang dipapar kepada orang ramai.

— BERNAMA