“Saya Menyesal. Tolonglah Kasi Saya Satu Kali Lagi Peluang, Tuan.” – Graduan Hilang Pekerjaan Gara-Gara ‘Batu’

Ketua Operasi AADK Kota Kinabalu Lawrence Galleh bersama anggotanya menyoal siasat suspek yang sebelum ini dalam pengawasan AADK dan terjebak semula dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Taman Keramat, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

GRADUAN HILANG PEKERJAAN GARA-GARA ‘BATU’

KOTA KINABALU: “Saya menyesal. Tolonglah kasi (beri) saya satu kali lagi peluang, tuan.”

Itu sahaja yang hanya mampu dikatakan oleh seorang penagih ketika ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Kinabalu dalam Ops Cegah Siri 17/2019 di Taman Keramat, di sini, awal pagi tadi.

Lebih mengejutkan suspek yang berumur 30 tahun itu merupakan seorang graduan dari sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan juga pernah bekerja sebagai kakitangan awam di negeri ini selama setahun sebelum terlibat kembali dengan dadah.

Suspek mengakui pernah mengambil dadah jenis syabu sebelum tamat pengajian pada tahun 2012.

Peralatan menghisap dadah yang ditemui dalam bilik tidur suspek yang terjebak kembali dalam penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Taman Keramat. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dia juga pernah ditahan AADK sebelum ini dan diletakkan dibawah pengawasan sehingga pulih.

“Sepanjang tempoh pengawasan itu, saya berasa amat bersyukur kerana usaha saya mendekatkan diri dengan Tuhan membolehkan saya mendapat rezeki bertugas sebagai seorang kakitangan awam pada tahun 2017.

Penguat kuasa AADK menahan dua suspek lelaki selepas ujian awal saringan air kencing terhadap mereka positif dadah jenis Methamphetamine. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Namun, disebabkan pengaruh rakan lama yang sering kali menghubungi saya, hanya untuk berjumpa dan mengajak menghisap dadah, saya terjebak kembali dan terpaksa tidak pergi ke pejabat kerana malu dengan keadaan saya yang tidak terurus,” katanya ketika ditemui SabahNewsToday selepas operasi di pejabat AADK Kota Kinabalu, di sini.

Anak sulung daripada dua beradik itu antara 17 individu termasuk seorang wanita yang ditahan sekitar kawasan Inanam, Manggatal, Sembulan, dan Tanjung Aru dalam operasi yang bermula jam 10 malam dan berakhir lima jam kemudian.

Ujian saringan air kencing ‘on-the-field’ juga dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu selepas pihak AADK mengesyaki individu yang terlibat dengan penagihan dadah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ketua Operasi AADK Kota Kinabalu Lawrence Galleh berkata kesemua tangkapan adalah berdasarkan aduan dan risikan pihak AADK.

“Kita turut menjalankan pemeriksaan ‘on-the-spot’ terhadap mana-mana individu yang disyaki penagih dadah sewaktu operasi dijalankan.

Anggota AADK membawa seorang suspek keluar dari bilik sewa untuk dibawa ke pejabat AADK Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Hasilnya, pihak AADK telah berjaya menahan sebahagian daripada mereka ini selepas ujian saringan awal air kencing mereka yang dibuat secara ‘on-the-field’ terbukti positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Menurut Lawrence, suspek yang termuda ditahan adalah seorang remaja lelaki berumur 18 tahun ketika sedang berjalan seorang diri di Kampung Kalansanan, Inanam.

Seramai 17 individu termasuk seorang wanita ditahan oleh AADK Kota Kinabalu setelah disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah pada Ops Cegah yang dijalankan sekitar daerah ini, awal pagi tadi. Kesemua yang ditahan positif dadah jenis syabu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Manakala, suspek tertua yang kita tahan malam ini seorang lelaki warga emas yang bekerja sebagai tukang kayu berumur 66 tahun,” jelasnya.

Kesemua suspek yang ditahan akan disiasat dibawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998 manakala dua orang suspek akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Sumber –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *