Sabah Akan Wujudkan Sanktuari Tenggiling Di Tawau – Christina Liew

Peter (tiga kiri) bertukar dokumen MoU bersama Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga (dua kanan) sambil disaksikan oleh Christina (empat kiri) serta pegawai kanan kementerian yang lain.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mewujudkan satu lagi sanktuari bagi melindungi spesis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di Taman Bukit Tawau menjelang penghujung tahun ini.

Sanktuari Tenggiling itu akan dibina dengan menggunakan dana bernilai RM1juta yang disumbangkan oleh Institut Kajian & Sanktuari Tenggiling (SAPSARI) Arizona, Amerika Syarikat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, beliau akan meminta Pengarah Taman-Taman Sabah dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah mengenalpasti lokasi yang sesuai di taman yang berkeluasan 20,000 hektar itu bagi menempatkan sanktuari berkenaan.

“Sanktuari ini akan dibuka kepada orang awam apabila semua proses penubuhan sanktuari ini selesai, mungkin sebelum hujung tahun. Selain itu, kita akan turut menubuhkan Pusat Kajian Tenggiling di situ.

“Penubuhan sanktuari ini penting bagi membolehkan kita mendidik orang awam supaya faham bahawa tenggiling adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya maka, ia tidak boleh diburu dan dibunuh atas apa pun alasan termasuklah untuk tujuan perubatan,” katanya ketika Sidang Media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sabah dan SAPSARI Arizona, di sini pada Isnin.

Christina berkata, pengwujudan sanktuari ini diharap dapat mempercepatkan usaha mendidik masyarakat tempatan dan pengunjung luar negara dalama melindungi spesis tenggiling yang diwartakan sebagai hidupan dilindungi sepenuhnya di Sabah.

Beliau berkata, penubuhan saktuari itu sudah dibentangkan dan dipersetujui oleh Kabinet Negeri Sabah.

Ditanya mengenai statistik terkini jumlah tenggiling yang masih wujud di Sabah, Christina berkata, JHL Sabah tidak mempunyai data sedemikian.

Bagaimanapun, diharap apabila wujudnya sanktuari itu nanti, ia boleh membantu dalam mendapatkan data yang tepat mengenai bilangan tenggiling yang ada di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memerangi sebarang aktiviti perdagangan, pemburuan dan pembunuhan tenggiling.

Menurutnya, kematian Badak Sumbu Sumatera jantan terakhir baru-baru ini menyebabkan kementerian mengambil langkah setapak ke hadapan bagi mewujudkan Pelan Tindakan Kesepuluh bagi melindungi spesis hidupan liar dilindungi di Sabah. Pelan ini akan dilancarkan dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Pengasas merangkap Pengarah SAPSARI Arizona, Peter Chan berkata, sebagai permulaan mereka menyumbangkan sebanyak RM1juta bagi mewujudkan Sanktuari Tenggiling berkenaan. Program melibatkan kerjasama sektor awam dan swasta ini dijangka melibatkan kos sejumlah RM4.5 juta.

Katanya, beliau akan mencari cara bagi mendapatkan dana selebihnya sama ada melalui kutipan dana bagi melindungi spesis yang sentiasa menjadi sasaran pemburu haram itu.

Beliau percaya, usaha mewujudkan Sanktuari sebegini akan meletakkan Sabah berada dihadapan dalam mendidik masyarakat dunia mengenai konservasi tenggiling yang merupakan hidupan liar paling banyak diburu dan dibunuh.

Bagi pihak Kerajaan Sabah pula, Christina berkata, Sabah akan membantu dari segi teknikal seperti menyediakan doktor pakar dan pasukan penyelamat. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *