Kecurian Peralatan Pam Air Punca Gungguan Bekalan Air Di Tuaran

Peter melihat sendiri paip Jabatan Air yang rosak akibat vandalisme menyebabkan berlaku gangguan bekalan.

CURI PERALATAN DAN VANDALISME PUNCA GANGGUAN BEKALAN AIR DI TUARAN

KOTA KINABALU: Perbuatan vandalisme serta mencuri kabel dan peralatan di rumah pam Jabatan Air yang berleluasa dipercayai menjadi punca berlaku gangguan bekalan bahan asas itu di Taman Putera Jaya, Taman Flamingo dan Karambunai sejak beberapa hari lalu.

Peter ketika ditemui media

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, satu laporan polis turut dibuat pihaknya selepas mengesyaki kewujudan kumpulan atau sindiket tertentu yang melakukan perbuatan sabotaj tersebut secara terancang.

“Kita memandang serius masalah ini kemungkinan masalah vandalisme yang berlaku dan terbaru tiga insiden berlaku sejak Jumaat lalu di Putera Jaya, Taman Flamingo dan Karambunai.

“Seolah-olah ada satu sindiket yang cuba mensabotaj peralatan jabatan air, kita nampak hari ini wayar-wayar di semua pam telah dipotong, pam kita dicuri maka kawasan sekitar ada masalah besar,” katanya kepada pemberita hari ini.

Amarjit menunjukkan kabel milik Jabatan Air yang hilang akibat dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, beliau bersama Pengarah Jabatan Air, Amarjit Singh dan pegawai-pegawai jabatan itu meninjau kerosakan di rumah pam sekitar kawasan Telipok yang menyebabkan penghuni di situ terputus bekalan air selama berapa hari.

Menurut Peter, selain masalah vandalisme, beliau mengakui hujan lebat turut memainkan faktor bekalan terputus kerana air sungai yang terlalu keruh tidak dapat diproses menyebabkan penyaluran air dihentikan sementara.

Antara peralatan pam air yang dirosakkan

Bagaimanapun katanya, Jabatan Air telah mempunyai perancangan teliti untuk menyelesaikan setiap masalah yang berlaku bukan sahaja di Tuaran tetapi juga di daerah-daerah lain.

Amarjit memberikan penerangan kepada Peter tentang masalah gangguan bekalan air yang berlaku di Tuaran.

“Kawasan perumahan yang tinggi juga menjadi punca jadi saya arahkan Jabatan Air tambah kapasiti pam dan tangki takungan air atau perbaiki sistem perpaipan.

“Tetapi paling penting bila berlaku masalah air hantar segera bekalan ke kawasan terjejas kita mahu pengguna ada bekalan untuk makan dan minum yang diberikan percuma,” tegasnya.

Tambah Peter, pemilik rumah berdekatan dengan pam air diharap dapat menjaga infrastruktur tersebut dan menghubungi Jabatan Air atau pihak polis jika berlaku aktiviti vandalisme.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *