Tidak Boleh Tuntut Wang Tebusan, Mangsa Culik Ditinggalkan Di Kepulauan Jolo

KOTA KINABALU: Sebaik menyedari rundingan untuk menuntut wang tebusan tidak dapat dijalankan, kumpulan penculik bertindak meninggalkan mangsa culik di kepulauan Jolo, selatan Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata sembilan daripada 10 nelayan yang diculik di perairan Lahad Datu itu kemudiannya diselamatkan pasukan keselamatan Filipina awal pagi tadi (Sabtu).

“Polis masih mendapatkan maklumat selanjutnya dengan lebih terperinci dan sembilan nelayan yang diselamatkan di kepulauan Jolo kini berada dalam keadaan selamat dengan seliaan Pasukan Keselamatan negara jiran,” katanya.

Omar berkata faktor utama kesemua nelayan dibebaskan adalah dipercayai pihak penculik tidak dapat membuat permintaan wang tebusan berikutan mangsa culik bukan warga tempatan.

“Lokasi serta keadaan mangsa culik yang belum diselamatkan masih belum diketahui setakat ini dan kita masih berhubung dengan rakan di Filipina untuk maklumat lanjut,” katanya.

10 nelayan yang juga pemegang dokumen Lepa-Lepa diculik oleh sekumpulan lelaki dipercayai Abu Sayyaf di perairan Tambisan Lahada Datu sebelum dilarikan di Pulau Sitangkai di Selatan Filipina kira-kira jam 2 pagi 18 Jun lalu.

Kesemua nelayan terbabit dipercayai berlayar tanpa permit sah semasa perintah berkurung berkuatkuasa dan enam lagi nelayan tidak diculik mendakwa mereka dalam perjalanan untuk memperbaharui permit sebelum didatangi kumpulan penculik. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *