Sarawak Boleh Bankrap Dalam 3 Tahun Di Bawah GPS – Lim Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng (4 dari kiri) pada majlis makan malam anjuran DAP Sarawak di Kuching malam tadi.

KUCHING: Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengingatkan rakyat Sarawak bahawa negeri itu mungkin bankrap dalam tempoh 3 tahun di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Lim berkata, dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan kering dalam masa 3 tahun.

Bagaimanapun Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengumumkan tahun lepas bahawa hasil negeri bagi 2019 dijangka mencecah RM10.51 bilion, yang merangkumi cukai jualan ke atas produk petroleum sebanyak RM3.84 bilion.

Katanya, Sarawak juga boleh menaikkan cukai jualan ke atas produk petroleum berdasarkan perlembagaan negeri.

Pada makan malam mengutip derma DAP Sarawak malam tadi, Lim berkata, negeri itu mungkin mengalami nasib seperti Kelantan, yang menyaksikan kerajaan negeri berkenaan tidak mampu membayar gaji kakitangannya kerana pentadbiran yang lemah.

“Mereka terpaksa meminjam wang daripada kerajaan persekutuan bagi membayar gaji kakitangan dan saya meluluskan RM20 juta untuk tujuan tersebut,” kata setiausaha agung DAP itu.

Lim berkata, kerajaan GPS berserta “adik beradiknya” daripada Umno dan PAS telah “mensabotaj” aspirasi rakyat Sarawak apabila mereka tidak mengundi menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat pada 9 April lepas yang menyebabkan kerajaan tidak mendapat sokongan 2/3 majoriti.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, anda perlu menyambut aspirasi rakyat, terutamanya bagi memulihkan kedudukan Sabah dan Sarawak di bawah perlembagaan.

“Oleh sebab kerajaan negeri gagal memenuhi aspirasi rakyat, maka ia layak ditamatkan,” katanya.

Lim bagaimanapun enggan menjawab ketika ditanya sama ada Putrajaya bersedia membayar cukai jualan 5% ke atas produk petroleum yang dikenakan oleh kerajaan Sarawak sejak Januari. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *