Suspek Pecah Rumah Dicekup, Rampas RM8,650, Barang Kemas, Telefon Bimbit Dan Syabu

Suspek yang ditahan disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di sekitar Beaufort. Gambar Ihsan Polis

Suspek pecah rumah dicekup

BEAUFORT: Seorang lelaki disyaki terbabit dalam satu kes pecah rumah di Beaufort dicekup polis dalam satu serbuan di Kampung Lumat, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, turut dirampas beberapa barang berharga dan wang tunai dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah serta dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai terbabit dalam satu kes pecah rumah di Kampung Lumatai, kelmarin.

Beliau berkata, seorang pengadu lelaki berusia 34 tahun menyedari rumahnya dipecah masuk pada jam 6 petang sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

“Menurut pengadu, dia menyedari wang tunai RM10,000 yang disimpannya dalam beg diletakkan di laci bersama rantai emas didapati hilang dan sebuah tab Huawei yang di simpan atas meja dalam bilik yang sama juga hilang.

“Anggaran kerugian dalam kejadian itu membabitkan nilai kira-kira RM15,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ekoran kejadian itu, Azmir berkata, hasil risikan pihaknya berjaya mengesan dan memberkas lelaki terbabit.

“Hasil tangkapan turut berjaya merampas beberapa barang kes termasuk lima telefon bimbit pelbagai jenama, barang kemas, wang tunai sebanyak RM8,650 dan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.17 gram.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek turut mengaku terbabit dalam kegiatan empat kes pecah rumah lain di sekitar daerah ini,” katanya.

Sehubungan itu, Azmir berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *