“Ainul Sekarang Dah Panjang Akal, Tak Reti Nak Tidur, Kerja Dia Main Tangan”

Ainul semakin sihat

“Ainul sekarang dah panjang akal, tak reti nak tidur, kerja dia main tangan. Cukup marah kalau tangan kena balut,” kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24 bapa kepada Ainul Mardhiah menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Hantaran itu dimuat naik kira-kira sejam yang lalu dan sehingga kini mendapat lebih 3,000 tanda suka serta pelbagai reaksi positif daripada netizen.

Terdahulu, Ahmad Safiuddin turut memuat naik hantaran yang menyatakan kegembiraan doktor di hospital berkenaan dengan perkembangan anaknya yang bertambah baik setiap hari.

Perkembangan positif itu dapat dilihat apabila Ainul dipindahkan ke wad biasa selepas empat hari menjalani pembedahan iaitu pada 14 Jun lalu dan kini tidak lagi memerlukan bantuan oksigen.

Lebih menarik, Ainul bukan saja menjadi perhatian rakyat Malaysia tetapi juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengadakan kunjungan bagi melihat keadaan bayi berkenaan, Selasa lalu ketika berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi selama tiga hari .

Pada 10 Jun lalu, Ainul yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tumor seberat 200 gram selepas bertarung nyawa selama lima jam.

Pembedahan itu dijalankan sepasukan pakar diketuai Profesor David Dunaway di hospital di London. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *