SKMM Laksana Kajian Bagi Percepat Pembinaan Menara Telekomunikasi Di Kiulu

Mohd Shafie (kanan) mendengar taklimat berkenaan Plan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) oleh Al-Ishsal (kanan).

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan syarikat telekomunikasi sedang melaksanakan kajian untuk mempercepatkan permohonan pembinaan menara telekomunikasi di beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.

Pengerusi SKMM Al Ishsal Ishak berkata rangkaian baharu infrastruktur digital memerlukan kajian dan kerjasama beberapa pihak termasuk pemegang lesen syarikat telekomunikasi di kawasan berkenaan.

Mohd Shafie (kiri) mendengar taklimat berkenaan Plan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) oleh Al-Ishsal (kanan).

“Pertama sekali saya amat kecewa (mendengar berita) kerana ada sekolah yang masih kekurangan infrastruktur digital…sekolah adalah satu pusat yang penting bagi kita untuk menerima pendidikan…oleh itu kita akan memastikan permohonan pembinaan menara telekomunikasi di kawasan berkenaan dapat dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat keatas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini pada Jumaat.

Baru-baru ini Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) dalam satu kenyataan merayu kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk memberikan kelulusan khas pembinaan menara telekomunikasi di beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu yang terletak hanya kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu.

Pembinaan menara telekomunikasi baharu itu adalah untuk kemudahan ratusan murid di empat sekolah rendah kerajaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Mantob, SK Lokub, SK Pukak dan SK Kitapol serta ribuan penduduk di sekitar kawasan DUN itu.

Sementara itu, mengulas mengenai kunjungan hormat kepada Mohd Shafie, Al Ishsal berkata ia bertujuan untuk melihat kriteria untuk membangunkan infrastruktur digital di Sabah.

“Matlamat kita adalah untuk meningkatkan infrastruktur digital di seluruh negara. Namun kriteria di setiap negeri itu berbeza. Bagi Sabah, sasaran utama dalam usaha meningkatkan infrastruktur digital ialah di pusat perindustrian, pelancongan dan pendidikan,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *